Gharar, Jahalah dan Maysir dalam konteks Muamalat semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 3 February 2023

Gharar, Jahalah dan Maysir dalam konteks Muamalat semasa

 

 

JUAL beli cedok-cedok secara langsung di Tiktok atau Instagram story pernah menjadi ‘trending’ dan isu dalam kalangan masyarakat.

 

Contoh barangan jualan adalah seperti gula-gula, makanan, alat ‘make-up’, aksesori, alat kegunaan harian sehinggalah kepada barangan emas.

 

Kaedah jualan adalah pembeli mencedok dari timbunan barangan yang berbeza-beza nilai di dalam bekas yang lebih besar menggunakan senduk, bakul atau mangkuk.

 

Kemudian pembeli akan terima dan redha setiap cedokan yang diperoleh tersebut walaupun mungkin sebahagian barangan yang diperoleh tidak diinginkan dan tidak diperlukan.


 

irsyad

 


Jualan cedok-cedok mempunyai sedikit persamaan dengan permainan ‘the claw’ untuk kanak-kanak yang telah jelas dihukumkan sebagai haram dan judi.

 

Justeru, sama ada menggunakan ‘cedok’, ‘the claw’, ‘lempar’, ‘sentuh’, ‘timbang’ secara pertaruhan dan lain-lain turut dihukumkan haram dan judi.

 

Jualan cedok-cedok menyerupai ‘bai al-munabazah’. ‘bai al-mulamasah’ dan juga ‘bai al-hasa’ yang pernah ditegah dan diharamkan oleh Nabi SAW kerana wujud unsur ‘gharar fahisy’ (ketidakjelasan yang besar) yang jelas.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Nabi SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabazah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Jual beli munabazah merujuk kepada maksud melempar. Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi menjelaskan jual beli munabazah ialah masing-masing pihak melempar (menawarkan) pakaiannya kepada temannya dan masing-masing mereka tidak melihat pakaian temannya.

 

Contohnya, pada zaman silam penjual menyatakan kain mana sahaja yang ada ini, apabila kamu lemparkan batumu dan jatuh ke atas mana-mana kain, maka engkau hendaklah membayarnya dengan harga sekian tanpa melihat kepada barang tersebut atau dengan melihat tetapi masih tertakluk kepada di mana jatuhnya batu lontarannya.

 

Sementara, jual beli mulamasah pula dijelaskan oleh Imam al-Nawawi adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual. Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas sesuatu barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual serta tidak boleh lagi ada pilihan.


 

irsyad

 


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jual beli mulamasah, iaitu masing-masing dari dua orang menyentuh pakaian milik penjual tanpa melihat dengan jelas.” (Riwayat Muslim)

 

Jual beli mulamasah dikira haram disebabkan oleh dua faktor iaitu wujudnya ‘jahalah’ (ketidakjelasan barang) dan ‘gharar’. Larangan ini tercakup dalam semua jenis barangan sama ada pakaian atau yang lainnya.

 

Manakala, jual beli al-hasa pula adalah melempar batu kecil ke atas barangan, di mana batu tersebut jatuh, maka pelempar mesti membelinya.

 

Jual beli al-hasa tidak sah disebabkan dua alasan iaitu wujudnya ketidakjelasan barang dan barang yang dijual masih tergantung pada syarat, iaitu apabila kain tersebut dilemparkan kepadanya.

 

Demikianlah, jual beli cedok-cedok adalah haram menurut Islam kerana wujud tiga unsur yang ditegah dalam urusan jual beli.

 

1. Unsur ‘gharar’

Ketidaktentuan semasa akad jual beli berkenaan jenis barangan yang akan diperoleh secara tepat dengan bayaran yang dibuat.

 

2. Unsur ‘jahalah’

Iaityu ketidaktahuan barangan yang diperoleh.

 

3. Unsur ‘maysir’ (judi)

Unsur judi kerana terdapat elemen ‘zero sum game’ iaitu satu pihak untung dan satu pihak akan rugi yang menyebabkan berlaku situasi untung atas kerugian orang lain.

 

Perlu ditegaskan bahawa walaupun pembeli menyatakan redha dengan kaedah pembelian secara ceduk-ceduk tersebut, namun tetap tidak diharuskan kerana bertentangan dengan syarak.


 

irsyad

 


Isu ini adalah dilihat sama dengan justifikasi dangkal segelintir masyarakat bahawa wujud keredhaan pemain judi sama ada menang atau kalah, namun tetap tidak diharuskan kerana menyalahi prinsip syarak.

 

Sewajarnya, pihak penjual dan pembeli lebih cakna dan prihatin terhadap soal hukum hakam syarak dalam melaksanakan urusan muamalat seharian supaya mendapat keberkatan dalam kehidupan. - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags