FWD, Artem Ventures lancar dana RM45 juta untuk labur dalam syarikat pemula insurtech, fintech Islam di Malaysia | DagangNews Skip to main content

FWD, Artem Ventures lancar dana RM45 juta untuk labur dalam syarikat pemula insurtech, fintech Islam di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - FWD Group Holdings Limited (Kumpulan FWD) mengumumkan pelancaran TIM Ventures, dana modal teroka bernilai RM45 juta dengan kerjasama Artem Ventures untuk melabur dalam syarikat pemula dalam bidang teknologi insurans (insurtech) dan teknologi kewangan (fintech) Islam di Malaysia. 

 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah komponen kritikal ekonomi Malaysia, yang menyumbang lebih satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta pekerja di Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan FWD, Sim Preston berkata, menerusi TIM Ventures, pihaknya berharap dapat membantu usahawan bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi juga membantu menghubungkan mereka dengan rangkaian dan kepakaran diperlukan untuk berjaya.

 

"Kami berharap dapat melabur dalam perniagaan yang berkongsi visi yang sama dengan kami di samping bekerjasama untuk mengubah pandangan orang ramai tentang takaful," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan, Pasaran Baru Muncul dan Ketua Pegawai Pengedaran Kumpulan FWD, Binayak Dutta pula berkata, pelancaran dana ini bersama-sama dengan FWD Start-Up Studio, menandakan komitmen berterusan mereka terhadap pasaran Malaysia dan peranan dalam merapatkan jurang perlindungan takaful. 

 

"Inisiatif ini membolehkan kami bekerjasama dengan bakat baru dan membangunkan teknologi baharu yang inovatif untuk mencapai masa depan digital yang lebih cerah," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, pihaknya akan berusaha untuk memastikan kerjasama lebih efektif terbentuk dan menyokong ekosistem teknologi yang semakin berkembang selaras dengan inisiatif strategik nasional baharu, Malaysia Digital (MD). 

 

"Kami memberikan tumpuan terutamanya kepada segmen fintech Islam yang inovatif, yang mana Malaysia telah menjadi peneraju global selama lapan tahun berturut-turut," katanya. - DagangNews.com