Forum Pasaran Modal ASEAN setuju merangka garis panduan peralihan ke arah kelestarian | DagangNews Skip to main content

Forum Pasaran Modal ASEAN setuju merangka garis panduan peralihan ke arah kelestarian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) telah bersetuju dengan langkah menggalakkan peralihan ke arah matlamat Perjanjian Paris di rantau ini dengan merangka garis panduan peralihan berasaskan prinsip yang luas.

 

Menerusi Mesyuarat Pengerusi Ke-38 yang dihoskan oleh Penguasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (Otoritas Jasa Keuangan) semalam, ACMF berkata pengawal selia bersetuju untuk memulakan Kajian Pasaran Karbon Sukarela (VCM) Fasa 2 memberi tumpuan kepada pendedahan dan aspek berkaitan peralihan.

 

Dalam satu kenyataan ACMF hari ini, tugasan untuk garis panduan pendedahan peralihan dan VCM akan diselesaikan di bawah inisiatif kewangan mampan bersama antara forum tersebut dan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Pasaran Modal.

 

“Dalam menggalakkan pendedahan kelestarian korporat dan membina kesedaran terhadap piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) yang akan datang, ACMF bersetuju untuk mengadakan sesi penglibatan tetap dan acara atau persidangan bersama, mengutamakan program pembinaan kapasiti dan meneroka potensi kerjasama ACMF-ISSB pada masa akan datang,” katanya.

 

Di samping itu, mesyuarat itu menyokong Hab Pengetahuan Kewangan Mampan, yang sedang dibangunkan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik peserta mengenai isu berkaitan kewangan mampan, di mana ia boleh diakses melalui laman web ACMF selepas pelancaran yang disasarkan pada akhir Mac 2023.

 

Di dalam kenyataan berasingan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) berkata inisiatif tersebut dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Kewangan Lestari ACMF dan diketuai olehnya sebagai pengerusi bersama.

 

Menurut ACMF, ia juga meluluskan pendekatan untuk membangunkan ASEAN Green Lane bagi memudahkan penawaran rentas sempadan bagi dana yang mampan dan bertanggungjawab di bawah Rangka Kerja Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN sedia ada, dengan garis masa pengesahan dijangka pada September 2023.

 

Kira-kira AS$38.06 bilion (RM170.36 bilion) bon atau sukuk hijau, sosial atau mampan berlabel ASEAN telah diterbitkan pada 15 Mac 2023 di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN yang diperkenalkan pada 2017 dan 2018.

 

Selain itu, ACMF meluluskan rancangan menyemak semula Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) yang menggabungkan tadbir urus berkaitan kelestarian agar sejajar dengan kemas kini yang dijangka kepada Prinsip Tadbir Urus Korporat G20 atau Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

ACGS yang disemak semula itu juga dijangka diluluskan pada September 2023.

 

ACMF juga menantikan penerbitan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan Versi 2 oleh Lembaga Taksonomi ASEAN pada akhir Mac 2023. -DagangNews.com