Forum Kandungan sokong LPF laksana tambah baik klasifikasi filem | DagangNews Skip to main content

Forum Kandungan sokong LPF laksana tambah baik klasifikasi filem

Oleh DIYANA ISAMUDIN

CYBERJAYA 3 Feb - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) menyokong Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam pelaksanaan menambah baik klasifikasi filem sedia ada selaras dengan landskap media semasa.

 

Pengerusi Forum Kandungan, Kenny Ong menyokong langkah LPF itu terutama pada zaman yang berkembang pesat ini. 

 

“Klasifikasi filem yang telah diwartakan berupaya memelihara kebebasan penonton untuk membuat pilihan kandungan dan mempraktikkan kawalan kendiri mengikut keperluan dan kehendak mereka sendiri. 

 

“Tambahan pula, LPF juga mengemukakan garis panduan yang jelas bagi melindungi kanak-kanak dan kumpulan yang mudah terjejas daripada melihat kandungan yang tidak sesuai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

Kenny Ong
Kenny Ong

 

 

Kenny berkata, lambakan kandungan daripada pelbagai sumber menyebabkan kebergantungan kepada penapisan negara untuk mengawal sebarang kandungan yang disebarkan sudah tidak lagi realistik. 

 

Beliau menekankan, masyarakat harus bertanggungjawab dalam mempraktikkan kawalan kendiri bagi memastikan kandungan yang dihasilkan dan digunakan sejajar dengan nilai dan piawaian.

 

“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna sebarang bentuk kawal selia harus diabaikan memandangkan masih perlu ada ukuran kebertanggungjawaban untuk mencegah kemudaratan dan memastikan prinsip etika asas dapat diutamakan. 

 

“Oleh itu, keseimbangan di antara kebebasan secara individu dan tanggungjawab bersama haruslah selari, seperti yang kami perjuangkan di Forum Kandungan melalui Kod Kandungan,” katanya.

 

Beliau juga berharap, usaha berterusan dikekalkan bagi memastikan lanskap kandungan di Malaysia bersifat dinamik dan selamat secara menyeluruh. - DagangNews.com