F&NHB, Cocoaland kembangkan bahagian pasaran makanan berbungkus | DagangNews Skip to main content

F&NHB, Cocoaland kembangkan bahagian pasaran makanan berbungkus

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pemerolehan Cocoaland merupakan langkah strategik bagi merealisasikan matlamat jangka panjang Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) untuk berkembang dalam segmen makanan berbungkus dan menyokong pertumbuhan bahagian makanan halal F&NHB. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, pihaknya melihat potensi yang besar untuk mengembangkan bahagian pasaran dalam kategori ini, terutamanya dalam rangkaian kesihatan dan kefungsian. 

 

"F&NHB merancang untuk menggunakan kekuatan Cocoaland dan melabur dalam jenama-jenama bagi memperkenalkan portfolio baharu seperti produk berasaskan tumbuhan dan kesihatan dan kesejahteraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Lim berkata, Cocoaland membawa pelbagai sinergi kepada Kumpulan, dengan rangkaian produknya yang mempunyai laluan ke pasaran dan acara penggunaan yang sama seperti produk minuman dan tenusu F&N yang ada sekarang. 

 

Katanya, makanan ringan dan konfeksi popular Cocoaland juga menyokong F&N dan Sri Nona untuk mencipta portfolio yang lebih luas dan meningkatkan pengembangan Kumpulan di luar negara, terutamanya dalam pasaran halal.

 

“Di dalam negara, Cocoaland boleh memanfaatkan rangkaian pengedaran dan sinergi perolehan F&NHB yang meluas. Sementara itu, Cocoaland menawarkan kapasiti untuk pengembangan yang mencukupi, dengan empat buah kilang pembuatan di Malaysia untuk menyokong perniagaan sedia ada dan pertumbuhan masa depan kami. 

 

"Sebagai contoh, Sri Nona akan menggunakan ruang berlebihan kilang untuk meningkatkan kapasiti yang sangat diperlukan untuk membuat ketupat, dan rangkaian minuman Cocoaland akan menghasilkan lebih banyak produk F&N," katanya.

 

 

fn
                                                Bryan Lee Chee Kong

 

 

Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2022 (S3TK22), Cocoaland mencatatkan hasil sebanyak RM71.7 juta, yang merupakan pertumbuhan 55.8% tahun ke tahun, manakala keuntungan bersih melonjak kepada RM10.6 juta daripada RM4.1 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Cocoaland, Bryan Lee Chee Kong pula berkata, prestasi kukuh Cocoaland untuk tahun kewangan ini dan peningkatan permintaan pengguna untuk makanan berbungkus mencerminkan peluang untuk berkembang lebih jauh. 

 

"Kami akan memanfaatkan inovasi, pembangunan produk baharu dan keupayaan pengurusan jenama F&NHB untuk memaksimumkan potensi jenama sedia ada kami dan membangunkan jenama baharu.

 

“Matlamat jangka panjang Kumpulan untuk Cocoaland adalah untuk membina syarikat menjadi pengeluar gula-gula kenyal Asia Timur yang paling dikenali dan pengeluar produk coklat terkemuka di peringkat antarabangsa. 

 

"Dengan hubungan baik yang sedia ada dengan pengurusan Cocoaland dan suntikan pasukan baharu yang terdiri daripada pemimpin profesional dan berpengalaman ke dalam syarikat, kami optimistik untuk merebut peluang masa depan yang akan memacu pengembangan kami ke pasaran global dan domestik yang lain,” katanya. - DagangNews.com