Fitch Solutions jangka jualan EV meningkat 45.6% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions jangka jualan EV meningkat 45.6% pada 2023

KUALA LUMPUR 1 Dis - Penyelidikan Fitch Solutions menjangkakan jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia berkembang pesat pada 2023, walaupun dari asas yang rendah, berikutan pengenalan insentif untuk meningkatkan penggunaan.

 

Dalam kenyataan pada 30 November, firma itu meramalkan jualan EV penumpang meningkat sebanyak 45.6% pada 2023 untuk mencapai jumlah jualan tahunan sekitar 4,449 unit.

 

“Kami menjangkakan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) akan kehilangan bahagian pasaran pada 2023, kerana pengenalan lebih banyak kenderaan elektrik bateri (BEV) menawarkan pengguna model tambahan untuk dipilih.

 

"Kami meramalkan bahawa jumlah jualan EV sebagai peratusan daripada jumlah jualan akan melepasi paras 1% menjelang 2024, kerana jangkaan prestasi kukuh dalam kedua-dua PHEV dan BEV mempercepatkan penggunaan EV," katanya.

 

Fitch Solutions berkata, Malaysia telah memperkenalkan langkah untuk mempromosikan dan merangsang penggunaan EV melalui insentif.

 

Menurutnya, pengecualian cukai jalan untuk EV kini telah dilaksanakan, bersama-sama dengan subsidi RM2,500 untuk pembelian infrastruktur mengecaj EV oleh pengguna.

 

Katanya, pengurangan 100% dalam duti import ke atas EV terbina sepenuhnya yang bertahan sehingga 31 Dis 2023 telah diperkenalkan.

 

EV layak untuk penggantungan duti sehingga 31 Dis 2025, bersama-sama dengan pengecualian cukai jualan dan duti eksais, yang akan meningkatkan lagi kemampuan untuk pengguna berikutan cukai yang sememangnya tinggi ke atas pengimportan kenderaan ke negara ini.

 

Tambahnya, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan pemasangan pek bateri, memandangkan pemain sedia ada di negara ini mengambil kesempatan daripada permintaan yang berpotensi lebih tinggi untuk bateri disebabkan pengeluar kereta meningkatkan penawaran EV mereka. - DagangNews.com