FGV ceburi perniagaan pengangkutan kontena, tambah 41 lori rendah karbon Euro V keluaran MAN | DagangNews Skip to main content

FGV ceburi perniagaan pengangkutan kontena, tambah 41 lori rendah karbon Euro V keluaran MAN

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, FGV Transport Services Sdn. Bhd. (FTSSB) menceburi perniagaan pengangkutan kontena dengan pertambahan 41 unit lori penggerak utama (prime mover) MAN TGS 6×4 baharu dengan spesifikasi enjin karbon rendah Euro V.

 

Penambahan kepada asset FTSSB ini terdiri daripada lima unit lori MAN TGS 4×2 dan 10 unit lori 6×2 yang akan digunakan untuk pengangkutan kontena.

 

Sejumlah 26 unit lori lagi adalah prime mover MAN TGS 6×4 yang sesuai untuk pengangkutan kargo.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV,  Datuk Nazrul Mansor berkata, sektor logistik telah menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi kewangan kumpula berikutan peningkatan kadar pengendalian dan pengangkutan serta jumlah pemprosesan yang lebih tinggi untuk perniagaan pengangkutan serta penyimpanan sepanjang tahun lalu. 

 

“Pelaburan untuk lori generasi baharu berteknologi tinggi, jimat bahan api dan rendah karbon daripada MAN ini akan membolehkan FGV meraih peluang dalam sektor ini dan memperkukuhkan ikrar FGV untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang merupakan sebahagian daripada komitmen amalan perniagaan yang lestari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

fgv

 

Lori MAN TGS Baharu FTSSB didatangkan dengan teknologi terkini seperti MAN Telematics dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), termasuk Beg Udara Keselamantan khas buat Pemandu, Sistem Amaran Penukaran Lorong dan Sistem Brek yang termasuk Pretarder dan Retarder.

 

MAN merupakan pengeluar lori pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V bagi seluruh rangkaian produknya dan kini mendahului dalam memacu mobiliti yang lestari dalam sektor pengangkutan. 

 

Kolaborasi 41 unit lori terbaharu ini adalah berdasarkan tender terbuka kedua oleh FTSSB yang dimenangi MAN Malaysia berikutan pemerolehan awal 44 unit lori MAN TGS generasi sebelumnya pada tahun 2021.

 

fgv

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berterima kasih kepada FGV atas kolaborasi yang menggunakan lori MAN TGS terbaharu dengan enjin Euro V dalam sama-sama mencapai keuntungan serta melaksanakan tanggungjawab kepada alam sekitar. 

 

“MAN TGS baharu mendahului pasaran menerusi orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling utama adalah aspek kemampanan. 

 

"Tiada lori yang lebih baik untuk membantu FTSSB berkembang menjadi penyedia penyelesaian pengangkutan yang lestari," katanya.

 

Seperti FGV, MAN juga bekerja keras bagi mengejar matlamat bagi menangani isu perubahan iklim kerana kelestarian adalah prinsip utama strategi korporat syarikat. 

 

Sasaran mereka adalah untuk mengurangkan tahap pelepasan sebanyak 70% menjelang 2030 berbanding tahap 2019 di semua lokasi syarikat di seluruh dunia, termasuk Malaysia. - DagangNews.com