Etika Berkempen Di Tangan Calon, Kuasa Menilai Di Tangan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Etika Berkempen Di Tangan Calon, Kuasa Menilai Di Tangan Rakyat

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood menitipkan pesanan buat ahli-ahli politik untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan dalam berkempen semasa PRU15.

SEMPENA pilihan raya umum yang akan datang, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood menitipkan pesanan buat ahli-ahli politik tanah air untuk memastikan bahawa propaganda dan kempen pilihan raya mereka disampaikan secara bertanggungjawab dan beretika.    

 

Beliau menerangkan bahawa tindakan membuat kenyataan palsu adalah salah satu strategi berkempen yang salah di sisi undang-undang, dan sekiranya sesebuah kempen propaganda mengandungi sebarang bentuk serangan, gangguan, fitnah atau penyemaian unsur kebencian, ia juga bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada.  

 

 

parafrasa

 

 

Kesalahan-kesalahan tersebut selari dengan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan) dan juga Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta), yang boleh disabitkan ke atas mana-mana ahli politik yang didapati bersalah melanggar keperluan-keperluan statut tersebut.  

 

Seksyen 4A Akta tersebut menyatakan bahawa “menjadi sebuah kesalahan untuk mana-mana orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan, atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi dalam sesuatu pilihan raya, atau untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih.” 

 

Peruntukan yang termaktub dalam akta tersebut juga disertakan dalam Kod Kandungan. Bahagian 2, Seksyen 5.1 kod tersebut melarang sebarang kandungan mengancam, yang merangkumi kandungan yang mendatangkan gangguan, ancaman kecederaan dan kejahatan, menggalakkan dan mendorong kepada perbuatan jenayah, atau menjurus kepada ketidaktenteraman awam manakala Seksyen 5.2 dalam bahagian yang sama melarang sebarang bentuk propaganda kebencian.
  

 

 

CMCF 

 



Mengenai maklumat palsu pula, Bahagian 2, Seksyen 7.1 Kod Kandungan menyatakan bahawa kandungan yang mempunyai sebarang elemen palsu atau maklumat yang tidak lengkap dan boleh mendatangkan kekeliruan perlu dielakkan. 

 

“Sebarang tindakan yang menyebarkan maklumat yang salah atau terang-terang menipu para pengundi, atau memanipulasi fakta dan statistik untuk mengaburi situasi yang sebenar, juga merupakan satu bentuk maklumat palsu dan berita yang tidak sahih,” tegas Mediha. 

 

Mediha juga menyarankan orang ramai untuk memainkan peranan mereka dalam perbincangan politik, terutamanya berkaitan dengan penyemakan fakta yang dikemukakan oleh mana-mana ahli politik atau penyokong-penyokong mereka. 

 

“Namun begitu, harus kita pertimbangkan yang mungkin ada dalam kalangan mereka yang benar-benar tersalah cakap atau tersilap dalam memberikan fakta secara tidak sengaja. Jadi mungkin mereka juga akan menghargai sekiranya kita memperbetulkan mereka,” ujar Mediha.

 

Beliau memberi peringatan ringkas bahawa ahli-ahli politik perlu berhati-hati dengan sebarang kenyataan mengenai pihak lawan mereka kerana mana-mana pihak yang terkesan dengan sebarang tuduhan atau lemparan fitnah boleh menegakkan hak mereka dan mengambil tindakan undang-undang.  

 

 

court

 

 

Seiring dengan peningkatan populariti platform media sosial bagi tujuan kempen politik dan juga peranan pempengaruh dalam membantu menyebarkan propaganda, Mediha menasihatkan agar pengguna media sosial lebih celik digital untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kancah maklumat salah.

 

Mediha juga menggalakkan pengguna media sosial untuk melaporkan sebarang insiden yang melanggar garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform-platform media sosial tersebut.  

 

Menurut Mediha, orang ramai seharusnya tampil berani untuk memberikan teguran kepada sesiapa sahaja, yang melanggar garis panduan komuniti platform media sosial, misalnya mereka yang menggunakan tuturan kebencian dalam platform mereka. 

 

“Ahli-ahli politik juga tertakluk kepada garis panduan komuniti media sosial yang sama seperti kita semua dan mereka juga boleh dilaporkan sekiranya mereka membuat sebarang hantaran yang tidak selari dengan garis panduan tersebut,” katanya.

 

Beliau turut percaya bahawa ahli-ahli politik juga perlu dipertanggungjawabkan sama seperti pengguna-pengguna media sosial yang lain sekiranya terdapat sebarang penggunaan bahasa yang berunsurkan serangan, kesat, atau mempunyai unsur-unsur diskriminasi. 

 

 

mcfv
Orang ramai boleh membuat aduan di laman web Forum Kandungan di sini: https://contentforum.my/make-complaint/

 


Mediha kemudiannya menambah bahawa sistem demokrasi boleh berkembang dengan lebih sihat sekiranya semua orang, daripada ahli politik sehinggalah kepada para pengundi, bertindak secara beretika, bertanggungjawab dan berhemah. 

 

“Ia mungkin kelihatan mustahil tapi sekurang-kurangnya kita boleh cuba,” kata beliau. 

 

Forum Kandungan merupakan sebuah forum industri yang memperjuangkan kawalan kendiri melibatkan kandungan-kandungan dalam rangkaian medium elektronik dan baru sahaja melancarkan Kod Kandungan 2022 yang telah dikaji semula. 

 

Ucapan yang bernada kebencian dan larangan kandungan palsu adalah antara aspek yang diketengahkan dalam Kod Kandungan 2022 sebagai manifestasi komitmen Forum Kandungan dalam terus mewujudkan ruang dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia. 

 

Kod Kandungan 2022 baharu ini kini boleh dimuat turun di sini

 

Sila layari http://www.contentforum.my untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan. – DagangNews.com