Ekonomi Malaysia diunjur perlahan kepada 3.5% pada suku kedua 2023 akibat kesan asas yang rendah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur perlahan kepada 3.5% pada suku kedua 2023 akibat kesan asas yang rendah, kata Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Ekonomi Malaysia diunjur perlahan kepada 3.5% pada suku kedua tahun ini (2Q23), turun daripada anggaran 5.1% pada 1Q23, berikutan kesan asas yang rendah dan memandangkan ekonomi kembali normal dengan ketiadaan langkah rangsangan, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata ini juga mempertimbangkan kesan kelembapan ekonomi global di tengah-tengah pengetatan dasar monetari global selanjutnya bagi memerangi peningkatan tekanan inflasi.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 sebanyak 4.7%, berbanding unjuran kerajaan sebanyak 4.5% dan konsensus 4%.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya dari segi domestik, risiko kemerosotan pertumbuhan akan terhad disebabkan premium risiko politik yang lebih rendah dan jangkaan peningkatan dalam pelaburan. 

 

“Ini juga disebabkan hala tuju dasar kerajaan perpaduan yang jelas di samping semakan semula Bajet 2023, menyaksikan kerajaan terus cenderung ke arah dasar fiskal mengembang bagi menyokong pertumbuhan,” ujar firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Di samping itu, pertumbuhan ekonomi juga akan disokong oleh keteguhan permintaan domestik, di tengah-tengah kemampanan perbelanjaan swasta berikutan kadar pengangguran yang rendah dengan jangkaan purata 3.5% daripada 3.8% pada 2022, dan sokongan langkah-langkah dasar, termasuk penerusan subsidi dan program pemindahan tunai untuk kumpulan B40.

 

Sementara itu, mengulas berkenaan indeks harga pengguna (IHP), Kenanga berkata ia dijangka beransur menyusut kepada 3% hingga 3.5% secara purata pada 2Q23 berikutan usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup, ringgit yang lebih kukuh dan kejatuhan harga komoditi.

 

“Selain itu, jangkaan bahawa kerajaan terus memberikan subsidi bahan api sepanjang tahun berkemungkinan terus membantu mengurangkan inflasi. Bagaimanapun, potensi penyingkiran harga siling telur dan ayam pada bulan Jun mungkin meningkatkan sedikit tekanan harga,” jelasnya.

 

Menurut firma itu, dari segi luaran, masih terdapat beberapa potensi risiko yang boleh mendorong inflasi lebih tinggi.

“Satu daripada risiko itu adalah potensi peningkatan aktiviti pelancongan, yang boleh memacu permintaan dan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan ketidaktentuan geopolitik, membawa kepada kenaikan harga komoditi dan memburukkan lagi tekanan inflasi,” ujarnya.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapatan jangkaan keseluruhan adalah penurunan inflasi yang akan berterusan dalam 2Q2023 dan purata berkemungkinan sekitar 2.5% tahun ini walaupun terdapat risiko. -DagangNews.com