Drama original tempatan pertama iQIYI raih lebih 100 juta tontonan digital | DagangNews Skip to main content

Drama original tempatan pertama iQIYI raih lebih 100 juta tontonan digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - Drama original tempatan pertama keluaran peneraju penstriman Asia, iQIYI ‘Rampas Cintaku’ melabuhkan tirai musim tayangannya dengan kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih lebih 100 juta tontonan digital.

 

Ini sekaligus meletakkannya sebagai kandungan tempatan teratas yang sanggup dibayar oleh rakyat Malaysia. Ia adalah permulaan yang kukuh kepada rangkaian siri original tempatan platform OTT ini dalam membuka jalan kepada produk original tempatan untuk menawarkan potensi aliran keuntungan kepada iQIYI di Malaysia.

 

Berdasarkan laporan Asia Video Content Dynamics 2022, dari Januari hingga Julai 2022, Malaysia merekodkan sejumlah 2.4 bilion jam penstriman video. 

 

Walaupun penggunaan OTT di Malaysia dipelopori kandungan Inggeris dan Korea sejak beberapa tahun lalu, iQIYI bagaimanapun melihat permintaan dan keutamaan yang semakin meningkat bagi kandungan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

Beberapa drama Melayu telah melakar kejayaan besar di platform penstriman ini, dengan ‘Rampas Cintaku’ menempa nama sebagai drama Melayu paling menguntungkan.

 

Sepanjang 14 episod tayangannya, ‘Rampas Cintaku’ secara konsisten mengungguli carta iQIYI Malaysia dalam kedudukan dua tempat teratas. Drama itu juga trending di platform media sosial TikTok sepanjang tempoh tayangannya.

 

Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, mereka sangat gembira apabila karya original tempatan dan Melayu pertama kami bermula dengan kukuh dan ia di luar jangkaan. 

 

 

iqiyi
                                          Dinesh Ratnam

 

 

iqiyi

 

 

"Kami juga melihat bahawa rakyat Malaysia sanggup membayar untuk menonton karya tempatan premium ini. Kadar tontonan yang sangat tinggi ini jelas menunjukkan keinginan yang kukuh terhadap kandungan tempatan dengan jalan penceritaan asli yang nyata dan berbeza.

 

"Fokus kami adalah untuk lebih berani membawakan jalan cerita unik yang mewakili intipati komuniti tempatan yang tidak dimiliki oleh platform lain, selain mewujudkan ekosistem kandungan tempatan yang kukuh. 

 

"Mengambil kejayaan ‘Rampas Cintaku’ sebagai contoh, karya original tempatan ini mencipta laluan yang sangat meyakinkan untuk menjana pendapatan dan keuntungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengambil contoh kemajuan China dalam inovasi, iQIYI sentiasa menjadi peneraju dalam perubahan inovatif untuk membentuk model perniagaan mampan yang unik kepada ekosistem kandungan Asia. - DagangNews.com