DKSH, KGC bekerjasama edar jenama ginseng merah terkenal Korea di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH, KGC bekerjasama edar jenama ginseng merah terkenal Korea di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - DKSH Business Unit Healthcare menandatangani perjanjian eksklusif dengan Korea Ginseng Corporation (KGC) untuk membawa ginseng merah premium CheongKwanJang ke Malaysia, Thailand dan Singapura.

 

Di bawah perjanjian itu, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran penuh dengan membina pasukan jualan dan pemasaran yang berdedikasi di lapangan serta menguruskan logistik dan pengedaran produk.

 

Ketua Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan DKSH, Bijay Singh berkata, kerjasama dengan KGC mengukuhkan cita-citanya untuk menjadi rakan kongsi pilihan bagi membantu pelanggan di Asia mendapat akses lebih baik kepada produk penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

 

"Pasukan berpengalaman dan rangkaian pengedaran luas DKSH akan memastikan ginseng merah CheongKwanJang sampai kepada mereka yang ingin meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Produk tersebut akan disediakan dalam perdagangan moden, perdagangan tradisional, kedai serbaneka, kedai khusus dan saluran e-dagang di seluruh pasaran menerusi pendekatan saluran omni DKSH.

 

Ketua Perniagaan Global KGC, Bin An berkata, syarikat itu mahu menjadikan kehidupan orang ramai lebih baik dengan menyediakan produk ginseng merah Korea yang terbaik, dituai secara tradisional, dan dipilih dengan teliti.

 

Katanya, dengan kepakaran DKSH dan rekod prestasi terbukti dalam pengembangan pasaran di Asia Pasifik, ia akan membantu KGC merealisasikan visinya untuk mengukuhkan pertumbuhan dalam pasaran ASEAN.

 

"DKSH juga akan membantu menyediakan ginseng merah Korea berkualiti tinggi untuk meningkatkan kesihatan penduduk di Thailand, Singapura dan Malaysia," katanya.

 

CheongKwanJang ialah jenama ginseng merah yang paling terkenal di Korea dengan tradisi selama 120 tahun.

 

Melalui 120 tahun pengetahuan pembuatan dan kawalan kualiti yang ketat, KGC berbangga dengan ketukangan yang telah mempertahankan reputasi ginseng Korea selama beribu-ribu tahun melalui pelbagai produk dan perkhidmatan bagi mereka yang mencari rawatan kesejahteraan dan kesihatan.

 

Setiap produk CheongKwanJang diperakui oleh Kementerian Makanan dan Sains Korea Selatan untuk menampilkan hanya ekstrak ginseng premium, daripada akar tumbuhan yang telah dibenarkan matang selama enam tahun yang diperlukan untuk hasil optimum. - DagangNews.com