Di sebalik kedudukan kerajaan yang rapuh, ketidaktentuan politik reda dengan pelantikan PM - Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Di sebalik kedudukan kerajaan yang rapuh, ketidaktentuan politik reda dengan pelantikan PM - Fitch Solutions

KUALA LUMPUR 29 Nov - Kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH) akan menghadapi halangan kepada penyatuan fiskal di tengah-tengah permintaan luar yang semakin lemah dan tekanan orang ramai untuk menggunakan subsidi bagi membendung kenaikan kos sara hidup, menurut Fitch Ratings.

 

Walaupun agenda dasar kerajaan masih belum jelas, tetapi ia menjangkakan defisit kerajaan persekutuan kekal melebihi 4% daripada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) pada 2022-2024.

 

Ini memandangkan keadaan prospek ekonomi yang lebih mencabar dan janji-janji gabungan parti politik mengenai perbelanjaan yang dibuat semasa kempen pilihan raya baru-baru ini.

 

"Namun, pemilihan perdana menteri baharu sedikit sebanyak meredakan ketidaktentuan politik dalam tempoh terdekat, meskipun kedudukan kerajaan akan kekal rapuh.

 

"Juga, tidak jelas sejauh mana kukuhnya sokongan UMNO yang menerajui blok Barisan Nasional (BN) yang memiliki 30 kerusi dalam PRU15 terhadap PH yang mempunyai 82 kerusi Parlimen daripada 222 Ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Pada 24 November lalu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

 

gambar hiasan
Barisan Nasional yang tewas dalam PRU15 membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 

Menurut Fitch, undang-undang anti-lompat parti yang diperkenalkan baru-baru ini menghalang Ahli Parlimen individu daripada bertukar parti, tetapi membenarkan parti dan blok untuk secara kolektif menukar kesetiaan mereka.

 

"Parti lain, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), juga telah menunjukkan sokongan kepada gabungan PH, yang boleh meningkatkan prospek kestabilan politik," jelasnya.

 

Agensi penarafan itu berkata, kerajaan baharu telah menyatakan ia akan membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula.

 

Katanya, pendirian dasar fiskalnya masih tidak menentu buat masa ini, tetapi ia mungkin akan kekal longgar dalam tempoh terdekat.

 

"Tambahan pula, ketiga-tiga blok parti politik (PH, BN dan Perikatan Nasional) berjanji dalam kempen mereka untuk mengurangkan kos sara hidup. 

 

"Kerajaan akan datang juga merancang untuk mengkaji semula sistem subsidi yang luas tetapi mahal," katanya.

 

Bagaimanapun, menurut Fitch lagi, kemungkinan peralihan kepada rejim yang lebih disasarkan akan dilakukan secara beransur-ansur, memandangkan subsidi telah membantu membendung inflasi dan meramalkannya secara purata pada 3.4% pada 2022.

 

Selain itu, katanya, kempen PH turut berjanji untuk memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk penjagaan kesihatan, perumahan, pendidikan dan infrastruktur.

 

"Manifesto pilihan raya PH juga menggesa kajian semula perkongsian hasil dan desentralisasi kuasa ke wilayah Sabah dan Sarawak, yang mana proses ini mungkin memberi implikasi kepada kewangan Kerajaan Persekutuan," jelasnya.

 

Agensi penarafan itu berkata, penyatuan fiskal akan mendapat rangsangan dalam jangka masa terdekat daripada pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh.

 

Ia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada 7.8% kepada 6.5% sebelum ini, setelah mengambil kira pertumbuhan kukuh pada suku kedua dan ketiga.

 

"Bagaimanapun, kesan asas yang lebih kukuh dan persekitaran luaran yang mencabar, bermakna kami telah menyemak semula unjuran pertumbuhan pada 2023 kepada 3.5% daripada 4.3%,” katanya. - DagangNews.com