Datuk Seri Ismail Sabri rasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Melaka 14 Okt 2022 | DagangNews Skip to main content

Datuk Seri Ismail Sabri rasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Melaka 14 Okt 2022

KUALA LUMPUR 13 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Melaka esok, 14 Oktober 2022.

 

Majlis tersebut yang bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Air Keroh, dijangka dihadiri juga oleh Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

 

Sebelum itu di sebelah pagi, Perdana Menteri dijadual merasmikan Loji Rawatan Air Chin Chin 3 di Jasin, Melaka.

 

Sementara itu, lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Karnival Jamin Kerja Melaka bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Melaka dari 14 hingga 16 Okt ini.

 

AKM

 

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia itu turut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

“Program bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan menghimpunkan 42 majikan daripada pelbagai sektor yang menawarkan peluang kerjaya kepada orang ramai khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan institut pengajian tinggi (IPT) serta pencari kerja.

 

“Antara peluang kerja ditawarkan seperti dalam sektor bioteknologi, perkhidmatan, perkilangan, perhotelan, telekomunikasi dan perbankan,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran Jelajah AKM yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.  

 

Ngwe berkata karnival itu akan turut menyediakan khidmat kaunseling kerjaya dan pendaftaran MYFuturejobs kepada pencari kerja.

 

“Kerajaan negeri ingin menyeru kepada mana-mana individu yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang pekerjaan baharu untuk menghadiri sesi temu duga terbuka yang akan dijalankan dengan secara bersemuka bersama majikan yang mengambil bahagian.

 

“Kepada mereka yang berminat untuk hadir ke sesi temu duga itu juga dinasihatkan untuk datang awal dan berpakaian kemas serta melayari laman web https://careerfair.perkeso.gov.my/ untuk pendaftaran,” katanya.

 

Sebarang pertanyaan orang ramai boleh melayari portal MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau emel ke perkeso@perkeso.gov.my. - DagangNews.com