Dari suri rumah kini bergelar usahawan berjaya, Sahabat AIM raih pendapatan bersih 5 angka sebulan | DagangNews Skip to main content

Dari suri rumah kini bergelar usahawan berjaya, Sahabat AIM raih pendapatan bersih 5 angka sebulan

Rosmi Habil (dua, kiri) melayani pelanggan di restoran miliknya, Rose Cafe di Semporna, Sabah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEMPORNA 25 Okt - 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'.

 

Itulah perumpamaan sesuai untuk seorang suri rumah Rosmi Habil, 43, dari Kampung Sg. Tohok di sini yang kini bergelar usahawan berjaya.

 

Siapa sangka, seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan sendiri kini mempunyai pelbagai perniagaan yang diceburi.

 

Jika sebelum ini hanya bergantung kepada gaji suami sebagai guru sandaran yang tidak seberapa, kini dia berjaya mengubah kehidupannya dan keluarga hasil tekad, usaha dan kerja keras.

 

Hasil kerja keras selama 20 tahun dalam dunia perniagaan, ibu kepada empat anak ini juga kini mempunyai beberapa perniagaan membabitkan restoran, salon rambut, kantin sekolah dan projek kecil-kecilan daripada kerajaan.

 

Kejayaan Rosmi bermula dengan pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada tahun 2001 untuk membuka sebuah kedai runcit kecil di hadapan rumahnya.

 

Bermula daripada situ, dia mengorak langkah lebih jauh dalam dunia perniagaan bagi memastikan penat lelahnya tidak sia-sia dan semuanya berbaloi apabila kini mampu meraih pendapatan bersih lima angka sebulan.

 

"Saya memang minat berniaga dan selepas melahirkan anak pertama tahun lalu saya mula berfikir bagaimana untuk menjana pendapatan lebih kerana tidak mahu membebankan suami ketika itu.

 

 

AIM
Rosmi Habil bergambar di hadapan Rose Cafe miliknya yang dibuka pada 2020.

 

 

"Tahun yang sama saya buat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM900 untuk buka kedai runcit kecil dan bermula dari situ saya mula menyimpan duit sebagai modal persediaan bagi menceburi bidang perniagaan lainnya.

 

 "Alhamdulillah, di bawah syarikat saya Cahaya Enterprise, saya mula fokus projek-projek kecil kerajaan dan pada masa sama turut buka salon rambut Indding Beauty Salon dan Spa tahun 2012 yang masih beroperasi sehingga kini.

 

 

AIM

 

 

"Saya juga menceburi bidang penyediaan makanan di kantin sekolah termasuk membuka restoran Rose Cafe dua tahun lalu kerana ingin mempelbagai perniagaan saya," katanya ketika ditemui.

 

Rosmi turut berkongsi rahsia kejayaannya dan pengalaman berhadapan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan yang baginya jika tidak kuat semangat akan cepat putus asa dan seterusnya gagal.

 

 

AIM
Rosmi Habil (kanan) turut mengusahakan perniagaan salon rambut, Indding Beauty Salon dan Spa yang beroperasi sejak tahun 2012 hingga kini.

 

 

AIM

 

 

Bagi anak ketiga daripada tujuh beradik ini, semangat yang kuat, komited dan disiplin dalam apa juga pekerjaan dilaksanakan memainkan peranan penting sekiranya mahu berjaya dalam perniagaan.

 

"Rahsianya mudah saja, komitmen dan disiplin amat penting dan paling utama adalah tawakal selepas kita berusaha serta sentiasa bersedekah yang merupakan kunci kejayaan setiap insan.

 

 "Justeru, semua elemen kejayaan ini saya terapkan sepanjang masa termasuk komitmen saya dalam AIM yang telah banyak membantu selama ini sehingga saya boleh berjaya seperti hari ini," katanya yang amat menghargai bantuan AIM selama ini. - DagangNews.com