Co-opbank Pertama agih zakat RM367,168 kepada 16 masjid, 400 penerima individu di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama agih zakat RM367,168 kepada 16 masjid, 400 penerima individu di seluruh negara

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Co-opbank Pertama (CBP) mengagihkan dana wakalah zakat berjumlah RM367,168 kepada 16 masjid dan 400 penerima individu di seluruh negara.

 

Program agihan itu menyasarkan golongan anak yatim dan ibu tunggal dalam kalangan fakir dan miskin, selain institusi masjid dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bawah kategori asnaf Fisabilillah.

 

Agihan wakalah zakat itu dilakukan di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Selangor, Kelantan dan Melaka. 

 

Selain itu, turut diagihkan di Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, agihan zakat itu merupakan antara program di mana agihan zakat itu disampaikan sendiri oleh Anggota Lembaga CBP menerusi majlis serahan zakat yang diadakan di masjid-masjid terpilih di seluruh negara.

 

Program agihan yang dijalankan itu membuktikan kesungguhan CBP dalam memartabatkan masjid sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan, selain menzahirkan keprihatinan CBP terhadap golongan ibu tunggal, anak yatim serta pelajar IPT.

 

coopbak
Khairil Anuar Mohammad Anuar

 

“Ini merupakan tanggungjawab CBP untuk membantu golongan yang memerlukan yang secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dengan bantuan zakat yang diberikan.

 

“Menerusi program itu juga, CBP dapat merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat yang telah banyak membantu dan menyokong kami selama ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain daripada agihan wakalah zakat, beliau berkata, CBP juga terus komited membantu masyarakat menerusi pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan.

 

Beliau berkata, pihaknya juga turut menyasarkan agar agihan itu dapat ditingkatkan pada tahun-tahun akan datang dan dapat membantu lebih ramai golongan sasar di negeri-negeri lain. - DagangNews.com