CGS-CIMB unjur prestasi Farm Fresh lebih kukuh pada separuh kedua FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur prestasi Farm Fresh lebih kukuh pada separuh kedua FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - Farm Fresh Bhd. dijangka merekodkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dipacu jumlah jualan lebih tinggi terutama dengan pelancaran produk baharu. 

 

CGS-CIMB Research turut menjangkakan syarikat perladangan tenusu bersepadu itu akan mendapat manfaat daripada kenaikan 5% harga susu RTD sejuk sejak Ogos lalu, yang akan diiktiraf pada separuh kedua FY23. 

 

Katanya, ia adalah tambahan kepada penurunan harga susu tepung keseluruhan baru-baru ini, sebanyak -12% sejak separuh pertama.

 

"Kami juga mendapati kumpulan menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk susu UHT sebanyak 25 hingga 30% menjelang suku keempat FY23.

 

"Ini sepatutnya mengurangkan kesesakan dalam pengeluaran produk susu UHT (pada masa ini khusus untuk produk program susu sekolah, yang mempunyai margin lebih rendah)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untung bersih Farm Fresh pada suku kedua berakhir 30 September 2022 susut 64.5% kepada RM11.19 juta daripada RM31.53 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan meningkat 32.5% kepada RM162.14 juta daripada RM122.4 juta.

 

Peningkatan pendapatan itu didorong terutamanya momentum jualan yang positif dan pelancaran produk baharu.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan, keuntungan bersihnya susut 47.9% kepada RM26.42 juta daripada RM50.74 juta, manakala hasil meningkat 19% kepada RM306.16 juta daripada RM257.19 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, syarikat itu dijangka menikmati pertumbuhan selanjutnya dalam pendapatan dengan pelancaran Farm Fresh Grow pada Oktober lalu dan Yarra oleh Farm Fresh (November 2022).

 

Namun, keuntungan bersih teras Farm Fresh bagi separuh pertama FY23 sebanyak RM28.1 juta adalah tersasar daripada jangkaan CGS-CIMB, ekoran tekanan margin yang lebih kuat daripada jangkaan pada suku kedua.

 

Oleh itu, ia mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 13.2 hingga 15.4% dengan mengambil kira perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi dan kenaikan kos input. 

 

"Kami juga menaikkan harga sasaran Farm Fresh kepada RM1.65 (daripada RM1.60) sebelum ini sejajar dengan sasaran purata harga perusahaan (PE) bagi pengeluar tenusu, memandangkan kami memulakan penilaian akhir 2023.

 

"Pada pandangan kami, penilaian semasa sebahagian besarnya menilai prospek pertumbuhan kumpulan (EPS teras 3 tahun sebanyak 10.5%) dan kedudukannya sebagai proksi yang kukuh untuk permintaan yang semakin meningkat bagi produk susu segar di rantau Asia," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Farm Fresh yang baru disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, 21 Mac lalu.

 

Setakat 9.35 pagi, harga sahamnya susut 4 sen atau 2.55% kepada RM1.53 dengan 2.02 juta saham diniagakan. - DagangNews.com