CGS-CIMB unjur peningkatan permintaan cip RF lonjak pendapatan Inari Amertron | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur peningkatan permintaan cip RF lonjak pendapatan Inari Amertron

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Permintaan cip frekuensi radio (RF) yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kehadiran pelanggan baharu akan meningkatkan pendapatan Inari Amertron Berhad.

 

CGS-CIMB Research berkata, hasil bahagian RF Inari meningkat 15 % pada 1QFY23 didorong  pertumbuhan nilai kandungan dalam model generasi baharu yang dilancarkan pada September 2022 untuk pengeluar telefon pintar Amerika Utara.

 

Firma itu berkata, kadar penggunaan daripada bahagian RF kumpulan itu adalah mencukupi.

 

"75% daripada 1QFY23 dan syarikat menjangkakan untuk melihat peningkatan dalam penggunaan RF kepada kira-kira 80% hingga 85% pada 2QFY23

 

"Ia akan didorong oleh campuran jualan yang lebih baik datang daripada model generasi baharu yang memerlukan tempoh ujian yang lebih lama disebabkan nilai kandungan RF yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kerjasama baharu kumpulan itu dengan Fortune Tech Capital dari China dilihat positif.

 

Katanya, Inari akan menyuntik dana secara progresif dalam tempoh enam bulan akan datang sebagai sebahagian daripada proses langganan sahamnya ke dalam syarikat kerjasama, Yiwu Semiconductor International Corp (YSIC).

 

"Inari telah memulakan pembinaan kilang baharu YSIC dan menjangkakan ia siap menjelang 2HFY23.

 

"Dalam pada itu, Inari menggunakan kapasiti di Amertron Kunshan bagi mempercepatkan proses kelayakan untuk YSIC.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM3.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com