CGS-CIMB unjur hasil teras YTL Power meningkat bagi FY23 hingga FY25 disokong prestasi perniagaan utiliti pelbagai | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur hasil teras YTL Power meningkat bagi FY23 hingga FY25 disokong prestasi perniagaan utiliti pelbagai

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Hasil teras YTL Power International Berhad diunjurkan meningkat bagi FY23 hingga FY25 disokong oleh prestasi utiliti pelbagai yang lebih baik selepas mengambil kira harga elektrik yang tinggi.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang meneroka bidang perniagaan baharu seperti perbankal digital, tenaga boleh diperbaharui dan pusat data bagi memastikan portfolio perniagaan mereka kekal optimum.

 

"Anak syarikatnya, YTL Digital Capital merupakan antara lima pemohon yag berjaya mendapatkan lesen bank digital menerusi konsortium YTL Digital-Sea Ltd.

 

"Pada April 2022, mereka juga mengumumkan pembangunan kampus pusat data 500MW di Johor iaitu pusat data pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh tenaga solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bagi 1QFY23 melonjak hampir lima kali ganda hasil sumbangandaripada perniagaan penjanaan kuasanya dan disokong harga runcit elektrik yang lebih tinggi di Singapura. 

 

Untung bersih melonjak kepada RM173.28 juta bagi 1QFY23 daripada RM35.4 juta setahun yang lalu manakala hasil meningkat 35% dalam tempoh yang sama kepada RM4.74 bilion daripada RM3.51 bilion.

 

Pendapatan kumpulan yang lebih kukuh daripada penjanaan kuasa sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih lemah daripada perniagaan air dan pembetungan serta kerugian yang lebih besar yang ditanggung oleh bahagian telekomunikasinya.

 

Firma itu menaikkan unjuran hasil pendapatan sesaham (EPS) antara 19% hingga 24% bagi FY23 hingga FY25 bagi mencerminkan sumbangan hasil yang tinggi daripada perniagaan utiliti pelbagai.

 

Firma itu juga menjangkakan pendapatan kumpulan lebih kukuh bagi FY23 hingga FY25 dengan pemberian dividen sebanyak 6%.

 

"Pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan daripada perniagaan utiliti pelbagai merupakan pemangkin penarafan semula kumpulan itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com