CGS-CIMB turunkan penarafan Senheng kepada 'pegang' berikutan prospek hasil lemah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan penarafan Senheng kepada 'pegang' berikutan prospek hasil lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Senheng New Retail Bhd. dijangka berdepan prospek hasil yang lebih lemah pada suku keempat dan seterusnya ekoran kuasa perbelanjaan pengguna lebih rendah manakala kos operasi semakin meningkat.

 

Ini mendorong CGS-CIMB Research menyemak turun penarafannya kepada 'pegang' daripada 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 62 sen daripada 90 sen sesaham sebelum ini. 

 

Malah, ia turut mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 antara 9.1 hingga 26.6% setelah mengambil kira anggaran margin dan hasil yang lebih rendah.

 

"Kami berpendapat, hasil kumpulan yang kurang memberangsangkan disebabkan terutamanya kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan pada suku ketiga, menyebabkan perbelanjaan operasi (opex) meningkat ke paras tertinggi sejak ia disenaraikan kepada 14.6% pada suku berkenaan.

 

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan kos operasi yang tinggi bagi mengembangkan rangkaian stornya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Senheng meningkat 35.5% kepada RM14.5 juta daripada RM10.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, didorong program menaik taraf dan pembesaran kedai serta jualan setiap kedai yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 12.8% kepada RM354.1 juta daripada RM313.8 juta, dengan margin kasar berkembang 23.1% pada suku berkenaan berbanding 21.4% sebelum itu berikutan campuran produk yang lebih menggalakkan.

 

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatan kumpulan meningkat 13.3% kepada RM1.1 bilion daripada RM987.7 juta manakala untung bersih meningkat 16.1% kepada RM39.5 juta daripada RM34.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Senheng setakat suku ketiga telah membuka 107 kedai dan menaik taraf empat kedai pada suku berkenaan, menjadikannya kepada 11 kedai baharu/naik taraf dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022.

 

Kumpulan menyasarkan untuk melancarkan lagi lima cawangannya pada suku keempat dan akan meningkatkan jumlah kedainya kepada 16.

 

Namun, CGS-CIMB mendapati, sasaran itu masih jauh berbanding sasarannya sebanyak 21 kedai bagi FY22.

 

"Senheng kemungkinan memperlahankan rancangan pengembangan kedainya setelah mengambil kira persekitaran operasi yang lemah," jelasnya.

 

Setakat 11.03 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 60 sen dengan 688,000 saham diniagakan. -DagangNews.com