CGS-CIMB : Pembatalan projek tebatan banjir cetus risiko kepada status MRT3 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pembatalan projek tebatan banjir cetus risiko kepada status MRT3

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pembatalan projek tebatan banjir meningkatkan risiko kebimbangan terhadap projek berskala besar yang pernah diumumkan dalam Bajet 2023 meskipun perkara itu telah dijangka sebelum ini apabila pentadbiran kerajaan bertukar tangan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan kerana ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

 

Kementerian Kewangan juga sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, pengumuman tersebut adalah negatif kepada prospek kontrak pembinaan pada 2023, walaupun bukan di luar jangkaan sepenuhnya.

 

Ini kerana katanya, berdasarkan analisis senario selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebelum ini, firma itu telah meningkatkan kebimbangannya mengenai kemungkinan semakan semula atau pembatalan projek sekiranya kerajaan baharu memerintah. 

 

"Apa yang tidak jelas daripada laporan ini ialah butiran mengenai dakwaan jumlah nilai kontrak tebatan banjir berjumlah RM7 bilion yang diberikan.

 

"Sepanjang pengetahuan kami, sejak pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu, projek yang didedahkan ini masih belum dianugerahkan lagi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Melalui Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang dalam usaha beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara.

 

Sebahagian besar projek akan dianugerahkan pada tahun depan dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM700 juta.

 

Antara projek utama yang digerakkan termasuklah, pelaksanaan projek empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

 

Menurut Sharizan, pembatalan projek berkenaan, secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada projek berskala besar yang pernah diumumkan dalam Bajet 2023. 

 

"Tumpuan segera kami ialah status projek Transit Aliran Ringan 3 (MRT3) dengan peruntukkan RM3.3 bilion (Circle Line, dengan jumlah keseluruhan RM32 bilion).

 

"Namun, kami menjangkakan lebih banyak butiran selanjutnya akan dibentangkan dalam pembentangan semula bajet dijangka pada suku pertama tahun hadapan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan risiko utama bergantung kepada semakan semula atau penangguhan projek MRT3. - DagangNews.com