CGS-CIMB jangka prospek Sime Darby kekal mencabar dipengaruhi kelemahan operasi di China | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka prospek Sime Darby kekal mencabar dipengaruhi kelemahan operasi di China

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Prospek Sime Darby Bhd. dijangka terus mencabar terutamanya menerusi segmen permotoran dan perindustrian di China berikutan sentimen pengguna yang lemah dan kelembapan aktiviti pembinaan. 

 

Ini mendorong CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Sime Darby dengan harga sasaran lebih rendah pada RM2.35 daripada RM2.40 sesaham. 

 

Menurut firma itu, gangguan rantaian bekalan yang berterusan juga akan terus mempengaruhi volum jualan kumpulan pada suku akan datang.

 

"Kelemahan berpanjangan dalam pasaran China boleh menjejaskan keuntungan Sime Darby memandangkan negara itu membentuk kira-kira 30% daripada keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) teras pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).

 

"Bagaimanapun, kumpulan kekal optimis terhadap potensi pemulihan dalam pasaran pembinaan di China berikutan rancangan kerajaan untuk menggiatkan semula sektor hartanah yang sedang bergelut untuk pulih," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Segmen permotoran jejaskan untung bersih Sime Darby suku pertama, susut kepada RM207 juta

 

Untung bersih Sime Darby bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 susut 12.3% kepada RM207 juta berbanding RM236 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan pendapatan lebih tinggi pada RM12.18 bilion daripada RM10.64 bilion.

 

Sentimen pengguna yang lemah di China memberi kesan kepada segmen permotoran kumpulan, yang mencatatkan PBIT sebanyak RM176 juta pada suku tersebut hasil daripada margin yang lebih rendah daripada operasi China.

 

Sebaliknya, segmen perindustrian, melantun semula pada suku dikaji berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, dengan PBIT meningkat sebanyak 35% kepada RM216 juta.

 

CGS-CIMB menjangkakan pasaran Australia akan terus menjadi pemangkin utama kepada keuntungan Sime Darby pada FY23.

 

"Ini disokong oleh pertumbuhan permintaan yang kukuh bagi segmen perindustrian terutamanya perkhidmatan dan alat ganti yang memperoleh margin lebih tinggi berbanding peralatan," katanya.

 

Namun, firma itu mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 1 hingga 5% setelah mengambil kira tekanan margin bagi segmen permotoran di China.

 

Setakat 9.50 pagi, harga sahamnya susut 6 sen atau 2.61% kepada RM2.24 dengan 1.8 juta saham diniagakan. - DagangNews.com