CGS-CIMB : Harga saham DNeX merosot sehingga 35% sejak Ogos | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Harga saham DNeX merosot sehingga 35% sejak Ogos

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM1 daripada RM1.17 sesaham sebelum ini.

 

Firma itu turut menyemak semula unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 19 hingga 29% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25 setelah mengambil kira kadar penggunaan yang lebih rendah bagi operasi SilTerra Malaysia Sdn. Bhd.

 

Menurutnya, keuntungan sebelum cukai SilTerra merosot 24.6% tahun ke tahun pada suku pertama FY23, disebabkan jumlah muatan yang lebih rendah pada suku tersebut ekoran kelewatan dalam penambahan pesanan baharu daripada pelanggannya (berdasarkan permintaan elektronik pengguna yang lebih lemah, terutama di China), ditambah dengan sekatan COVID-19 yang berterusan.

 

Katanya, kumpulan menjangkakan jumlah muatan SilTerra akan terus melemah pada suku kedua dan ketiga bagi FY23.

 

"Pada masa sama, kumpulan juga memberi tumpuan untuk mengisi kapasiti ganti dengan platform teknologi baharu munculnya, menguasai harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi, tetapi volum yang lebih rendah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih DNeX bagi Q1FY23 susut kepada RM41.72 juta tanpa impak pengambilalihan SilTerra

 

Untung bersih DNeX susut mendadak kepada RM41.72 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 daripada RM293.56 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan muhibbah negatif sekali sahaja yang dimasukkan pada suku pertama FY22 sebanyak RM264.5 juta berikutan pengambilalihan SilTerra.

 

Pada suku berkenaan, pendapatan kumpulan bagaimanapun meningkat 55% kepada RM419.6 juta daripada RM270.9 juta dipacu hasil yang lebih tinggi menerusi segmen perniagaan teknologi dan tenaga.

 

Menurut CGS-CIMB, harga saham DNeX jatuh sehingga 35% daripada paras tiga bulan tertingginya yang direkodkan pada 25 Ogos 2022. 

 

"Ini disebabkan permintaan global yang lemah terhadap semikonduktor dan 'overhang' daripada proses timbang tara terhadap Mimastronics Technologies Limited (MIMAS), anak syarikat Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing (CGP), yang memegang 40% kepentingan dalam SilTerra," jelasnya.

 

Namun, di sebalik operasi SilTerra yang lebih perlahan, firma itu berkata, kumpulan menjangkakan pengeluaran medan kluster Anasuria meningkat 25% suku ke suku pada suku kedua FY23, berikutan pengembalian semula riser yang lengkap pada September lalu.

 

Katanya, kumpulan menjangkakan jumlah pengeluaran akan kembali pulih daripada 1,200 pengeluaran bersih harian pada suku pertama kepada 1,500 pengeluaran bersih harian pada suku kedua dan seterusnya 1,800 hingga 2,000 pada suku ketiga.

 

"Kami menjangkakan pemulihan jumlah pengeluaran Ping Petroleum akan membantu mengimbangi kadar muatan yang lebih perlahan di SilTerra bagi FY23," katanya. 

 

Sebelum ini, jumlah pengeluaran Ping Petroleum telah terjejas akibat kerosakan riser dan kelewatan sebulan dalam pengembalian semula.
 

Setakat 9.18 pagi, harga saham DNeX menokok 2 sen atau 3.51% kepada 59 sen dengan 5.85 juta saham diniagakan. -DagangNews.com