Skip to main content

CGS-CIMB dapati 3 faktor jejaskan tempahan kenderaan pada suku keempat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - Ketidaktentuan makro terutamanya dipengaruhi persekitaran kadar faedah yang tinggi dijangka menjejaskan tempahan kenderaan pada suku keempat 2022, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) juga diunjur lebih perlahan bagi tempoh November hingga Disember disebabkan kelewatan penghantaran kenderaan dalam tempoh terdekat disebabkan masalah kekurangan cip dan komponen yang masih berlarutan.  

 

Selain itu, katanya, jualan kenderaan juga dipengaruhi dengan sentimen pengguna yang lemah di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi domestik.

 

"Ini dapat dilihat pada Oktober 2022, apabila TIV susut 9.8% bulan ke bulan kepada 61,002 unit ekoran jualan lebih rendah bagi kenderaan penumpang dan komersial, masing-masing susut 9.3% dan 14.4% bagi bulan ke bulan. 

 

"Kami melihat kelemahan TIV ini berpunca daripada normalisasi pesanan tertunggak berikutan lonjakan dalam penghantaran TIV pada suku ketiga dan masalah kekurangan cip semikonduktor dan komponen yang berterusan masih menjejaskan rantaian bekalan industri automotif domestik memandangkan jumlah volum pengeluaran pada Oktober jatuh 15.6% bulan ke bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Meskipun prestasi jualan pada Oktober sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 630,000 unit.

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.

 

Jumlah jualan 10 bulan 2022 juga 50 peratus jauh lebih tinggi berbanding 383,589 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi Oktober 2022, sejumlah 61,002 unit kenderaan dijual dengan pecahan 54,498 unit untuk kenderaan penumpang dan baki 6,504 unit lagi adalah kenderaan komersial.

 

Perbandingan bulan ke bulan, jualan Oktober adalah 10 peratus lebih rendah berbanding September iaitu 67,659 unit dan 64,762 unit jika dibandingkan dengan pencapaian Oktober 2021.

 

Mohd. Shanaz menjangkakan sektor automotif akan merekodkan pertumbuhan jualan suku ke suku yang lebih rendah pada suku keempat ini disebabkan penghantaran TIV lebih rendah dan normalisasi tempahan setelah pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berakhir.
 

"Pada masa sama, kami mengunjurkan prestasi pendapatan bagi syarikat pengeluar kereta akan dipengaruhi oleh perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi, memandangkan pergerakan kadar tukaran asing yang tidak menggalakkan dan tekanan kos inflasi daripada kenaikan kos bahan mentah dan buruh.

 

"Oleh itu, secara keseluruhan, kami kekal 'neutral' terhadap sektor automotif dengan pilihan utama kami ialah saham Bermaz Auto Bhd.," katanya. - DagangNews.com