Carsome perkenal inisiatif 'Women Take The Wheel' tingkatkan pengalaman pemilikan kereta untuk wanita | DagangNews Skip to main content

Carsome perkenal inisiatif 'Women Take The Wheel' tingkatkan pengalaman pemilikan kereta untuk wanita

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Sempena Hari Wanita Antarabangsa, Carsome memperkenalkan inisiatif 'Women Take the Wheel' yang akan dilaksanakan di Malaysia, Indonesia dan Thailand selaras dengan komitmen syarikat untuk menjadi lebih inklusif dalam segala interaksi melibatkan masyarakat.

 

Sebagai sahutan kepada maklum balas pelanggan wanita berkenaan keperluan dan cabaran mereka ketika membeli kereta terpakai, inisiatif Women Take The Wheel bertujuan untuk memperkasa pembeli kereta wanita melalui pengalaman dan penawaran yang nyata berbeza. 

 

Inisiatif ini akan mengambil kira permintaan mereka untuk mendapatkan bimbingan dan panduan terutamanya dalam aspek teknikal dan yang berkaitan dengan proses peringkat awal pembelian kereta.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Carsome, Juliet Zhu berkata, pihaknya mendengar maklum balas pelanggan wanita dan dimaklumkan tentang cabaran yang mereka hadapi sepanjang proses pemilikan kereta. 

 

Katanya, di samping keyakinan, ketelusan dan meyediakan pilihan menerusi pengalaman pembelian dan penjualan kereta secara digital, Women Take the Wheel melambangkan sokongan pihaknya kepada wanita untuk membuat keputusan tepat tanpa keraguan.

 

“Ini hanyalah titik permulaan, dan kami berasa teruja untuk memberi lebih banyak manfaat kepada pelanggan wanita untuk bulan-bulan seterusnya.

 

"Ia juga menunjukkan dedikasi jangka panjang kami ke arah persekitaran lebih inklusif untuk representasi lebih seimbang dalam industri automotif. 

 

 

carsome
                                                Juliet Zhu

 

 

"Kami harap apa yang dibina pada hari ini akan menjadi asas pada masa akan datang untuk meneruskan sokongan terhadap para wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut data Carsome, bilangan pembeli kereta dalam kalangan wanita meningkat lebih daripada 308% pada 2022 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Sebahagian inisiatif Women Take the Wheel, Carsome akan memperkenalkan pelanggan kepada pengalaman yang dipertingkatkan khusus untuk wanita di Malaysia dengan 11 pakar perkhidmatan di ‘Inspection and Experience Center’ terpilih termasuklah PJ Automall, Kepong, Kelana Jaya, Puchong, Klang, Seremban, Melaka, Skudai, Ipoh dan Bayan Lepas. 

 

 

carsome

 

 

Pakar perkhidmatan tersebut akan menyediakan sokongan dan panduan kepada pelanggan wanita dengan layanan yang lancar daripada pandu uji hinggalah pemilikan kereta, yang mana selepas itu pelanggan dapat menikmati kemudahan sokongan selepas jualan menerusi interaksi digital Carsome.

 

Program ini juga dimulakan dengan 30 hari jaminan wang dikembalikan untuk pelanggan wanita, tawaran yang pertama seumpamanya dalam industri ini dan satu bulan insurans hayat percuma daripada Fi Life. Tawaran ini sah sepanjang tempoh kempen dari 8 hingga 31 Mac 2023. - DagangNews.com