Capex Petronas dijangka lebih tinggi pada suku keempat rancakkan industri O&G tempatan - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Capex Petronas dijangka lebih tinggi pada suku keempat rancakkan industri O&G tempatan - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Dis - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) setelah Petronas merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada suku ketiga 2022.

 

Bagi tempoh berkenaan, Petronas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM30.8 bilion, meningkat 89% berbanding RM16.3 bilion pada suku sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga meningkat 60.5% kepada RM99.2 bilion daripada RM61.8 bilion.

 

Ia berikutan impak harga yang memberangsangkan bagi produk utama dan impak menggalakkan tukaran asing.

 

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan 2022, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM77.2 bilion, meningkat 119.9% berbanding RM35.1 bilion dalam tempoh sama 2021 manakala pendapatannya meningkat 58.3% kepada RM271.3 bilion berbanding RM171.4 bilion.

 

 

gambar hiasan

 

 

Penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, Petronas mengeluarkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM27.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, meningkat 34% tahun ke tahun, mencerminkan pemulihan keseluruhan kerana tahap aktiviti menjadi normal dalam era pasca pandemik.

 

Katanya, capex dijangka terus meningkat pada suku keempat ini untuk memenuhi panduan setahun penuh Petronas sebanyak RM60 bilion yang akan menyaksikan trajektori pemulihan berterusan dalam tahap aktiviti tempatan.

 

"Sebelum ini kami menekankan Dayang Enterprise Holdings Bhd. merupakan salah satu penerima manfaat utama memandangkan peningkatan yang dirancang dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM), serta penyambungan dan pentauliahan (HUC).

 

"Kami juga percaya Uzma Bhd. boleh mendapat manfaat daripada peningkatan tahap aktiviti 'brownfield' terutamanya dalam persekitaran harga minyak yang lebih tinggi kerana pengeluar akan lebih diberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran telaga.

 

"Permintaan untuk pelantar jack-up juga dijangka bertambah baik pada separuh kedua ini dan menjelang 2023 dan akan memberi manfaat kepada penyedia pelantar, Velesto Energy Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dalam pada itu, sejajar dengan rekod pendapatan tertinggi tahun ini, Petronas komited membatar dividen sebanyak RM50 bilion, dua kali ganda berbanding tahun lalu, yang mana RM25 bilion telah dibayar, dengan bakinya akan dibayar pada suku akan datang.

 

Kedudukan tunai bersih Petronas pada masa ini berada pada paras sihat RM103 bilion (tertinggi sejak akhir FY18).

 

"Oleh itu, kami melihat sedikit kesukaran bagi kumpulan memenuhi komitmen dividennya serta panduan perbelanjaan modalnya secara serentak," jelasnya.

 

 

velesto

 

 

Sementara itu, penganalisis AmInvestment Bank Research, Lucas Tan Jun Sian berkata, segmen terpilih dalam rantaian nilai dijangka berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak dan projek yang dibenarkan oleh syarikat minyak negara.

 

Katanya, pengendali minyak dan gas yang terdedah secara langsung kepada pengeluaran huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd. akan menikmati harga minyak yang masih tinggi.

 

"Subsektor pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) turut akan mendapat manfaat memandangkan bilangan pengendali yang berkurangan semasa kemelesetan sebelumnya pada 2015 hingga 2017," katanya.

 

Penganalisis RHB Research, Sean Lim pula berkata, walaupun capex dijangka meningkat pada suku keempat, tetapi Petronas berkemungkinan akan mengurangkan perbelanjaannya di bawah RM60 bilion (sekitar RM50 hingga RM55 bilion) sama seperti beberapa tahun lalu. 

 

"Jumlah capex pada 2023 sepatutnya lebih rendah tahun ke tahun jika tiada pengambilalihan tetapi kami menganggarkan ia kekal dalam julat RM45 hingga RM50 bilion, dengan perbelanjaan O&G kekal teguh.

 

"Oleh itu, aktiviti huluan diunjurkan akan terus meningkat untuk bahagian huluan bagi memanfaatkan harga minyak yang tinggi," jelasnya. - DagangNews.com