Cape EMS dapat kelulusan SC disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Cape EMS dapat kelulusan SC disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Nov - Cape EMS Bhd. mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia yang menyaksikan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 259.7 juta saham terdiri daripada terbitan awam , 173 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 86.7 juta saham sedia ada. 

 

Sebanyak 54.2 juta saham baharu bagi tawaran runcit disediakan mewakili 5.8% daripada jumlah modal saham diperbesarkan iaitu 923 saham.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 46.2 juta saham baharu (mengandungi 26.7% daripada 173 juta saham baharu) akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam, di mana 23.1 juta saham baharu (merupakan 13.4% daripada 173 juta saham baharu) dikhaskan untuk permohonan oleh pelabur bumiputera.

 

Sementara itu, 8 juta saham baharu (merupakan 4.6% daripada 173 juta saham baharu) akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Bagi tawaran institusi pula, ia menyaksikan sebanyak 205.5 juta saham mewakili 22.35 dariapada jumlah modal diperbesarkan sebanyak 923 juta saham.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 28.8 juta saham baharu (merupakan 16.7% daripada 173 juta saham baharu) akan disediakan untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
 

Sebanyak 90 juta saham baharu (merupakan 52% daripada 173 juta saham baharu) akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih yang lain manakala 86.7 juta saham sedia ada akan disediakan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Cape EMS berkata, kelulusan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk menjadi entiti tersenarai awam di Bursa Malaysia dan mendorongnya ke fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Katanya, syarikat secara dasarnya terlibat dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dengan menyediakan perkhidmatan pembuatan hujung ke hujung untuk produk elektronik industri binaan kotak dan produk elektronik pengguna.

 

"Kedua-dua segmen itu masing-masing menyumbang 62.3% dan 26.6% daripada hasil, pada 2021. 

 

"Menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam kedua-dua segmen ini menyediakan kami dengan 2 tonggak pertumbuhan dan kepelbagaian perniagaan," katanya. 

 

Hong Leong Investment Bank Bhd. ialah penasihat utama, pengurus bersama dan penaja jamin bersama kepada berkaitan langkah penyenaraian itu.

 

AmInvestment Bank Bhd. ialah pengurus bersama dan penaja jamin bersama kepada syarikat berkaitan dengan IPO. - DagangNews.com