Canggih Sutera kongsi sinergi jayakan 'Program Back To School' | DagangNews Skip to main content

Canggih Sutera kongsi sinergi jayakan 'Program Back To School'

Rozamir di hadapan kilang jahitan Canggih Sutera di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 21 MAC -  Program 'Back to School' menjadi platform untuk Canggih Sutera Sdn. Bhd. melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila berkongsi sinergi dengan pelbagai agensi awam dan swasta.

 

Menerusi kerjasama tersebut, syarikat pembekal produk pakaian seragam sekolah jenama Canggih ini dapat membekalkan kelengkapan persekolahan yang berkualiti kepada penerima bantuan.

 

Sebagai pembekal kelengkapan sekolah di bawah satu bumbung ia memberi kelebihan pada Canggih Sutera dalam menyediakan kelengkapan bagi program sumbangan tersebut.

 

Dengan mempunyai rangkaian cawangan serta pengedar di seluruh negara pula memudahkan segala urusan termasuk penghantaran dan logistik.

 

canggih
Sebahagian daripada murid-murid yang menerima sumbangan baju sekolah tajaan Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. dan Canggih Sutera di Ipoh.

 

Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn. Bhd., Rozamir Zulkifli berkata,  penglibatan pihaknya bertujuan untuk membantu persediaan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan kembali ke sekolah. 

 

Menurut beliau, ini juga merupakan satu program amal komuniti menerusi kerjasama langsung dengan pihak terlibat.

 

"Kerjasama Canggih Sutera bersama agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat ini telah mewujudkan sinergi yang positif.

 

"Ini dapat memastikan 'Program Back to School'  mencapai objektif iaitu membantu kelompok pelajar keluarga berpendapatan kecil ini ke sekolah dengan kelengkapan yang terbaik," ujarnya.

 

canggih
Selain pakaian dan beg, Canggih Sutera turut mengeluarkan kasut sekolah.

 

Pelaksanaan program adalah menerusi kaedah batching iaitu membekalkan kelengkapan mengikut pesanan, penyerahan sumbangan di lokasi atau pemberian baucer.

 

Mengikut kaedah baucer, kupon ini akan diserahkan kepada penerima oleh penganjur dan baucer adalah mengikut sepertimana yang dipersetujui penganjur.

 

Baucer boleh ditebus di mana-mana outlet Canggih Go atau Canggih Shopee berdekatan.

 

Set kelengkapan sekolah yang disumbangkan ini meliputi beg sekolah dan alat tulis pada harga antara RM115 hingga RM215 mengikut jenis item yang disediakan.

 

canggih
Program 'Back to School' menjadi platform untuk Canggih Sutera melakukan CSR dengan rakan strategik seperti CIMB.

 

Dalam pada itu kata Rozamir, seramai 18,000 murid-murid daripada keluarga berpendapatan kecil di negeri Perak menerima manfaat Program Back to School yang diadakan.

 

Jelasnya, ia menerusi pelaksanaan CSR dengan pihak seperti Perbadanan Menteri Besar (Perak MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. dan Majlis Bandaraya Ipoh. - DagangNews.com