Caely rugi RM568,000 pada Q1FY23, menjadikan kerugian tiga suku berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Caely rugi RM568,000 pada Q1FY23, menjadikan kerugian tiga suku berturut-turut

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pengeluar pakaian dalam wanita, Caely Holdings Bhd. yang terpalit dengan kontroversi membabitkan dakwaan isu penyelewengan dana, terus mencatat kerugian buat tiga suku berturut-turut. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat yang berpangkalan di Perak itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM568,000 bagi suku pertama (Q1) berakhir 30 September 2022 berbanding keuntungan bersih RM831,000 yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan penurunan jualan pengeluaran. 

 

Berbanding dua suku sebelumnya, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM352,000 bagi suku berakhir 30 Jun 2022 manakala kerugian bersih RM9.29 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2022.

 

Pada Julai lalu, ia telah mengubah tahun kewangannya daripada 31 Mac kepada 30 Jun.

 

Ini menyaksikan kumpulan merekodkan kerugian sesaham sebanyak 22 sen pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) berbanding pendapatan sesaham sebanyak 32 sen bagi suku pertama FY22.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga susut 14.5% kepada RM13.91 juta daripada RM16.28 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan pengeluaran yang rendah ekoran masalah kekurangan buruh.

 

Menurut Caely, konflik semasa antara Ukraine dan Rusia telah menimbulkan ketidakpastian mengenai pemulihan ekonomi dunia walaupun banyak negara, termasuk Malaysia sedang menuju ke tahap endemik selepas pandemik COVID-19.

 

Katanya, sektor pembuatan dijangka meningkat sejajar dengan aktiviti ekonomi yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, ketegangan geopolitik, inflasi yang lebih tinggi, kekurangan buruh dan kadar faedah yang meningkat mungkin memberi kesan kepada prestasi aktiviti pembuatan," katanya.

 

Pada Oktober lalu, Caely telah memfailkan laporan polis terhadap 12 pemegang saham, termasuk bekas pengarah urusan Datuk Chuah Chin Lai dan isterinya Datin Fong Nyok Yoon yang merupakan pengasas syarikat, kerana didakwa menyeleweng dana hampir RM31 juta.

 

Caely telah mengarahkan peguam pada 5 Oktober 2022 supaya membuat laporan polis dan meminta polis menyiasat sebarang kemungkinan unsur jenayah serta penyelewengan dana yang disyaki yang telah menyebabkan kerugian kepada Caely, dan juga penyembunyian penyelewengan oleh anggota lembaga pengarah terdahulu. -DagangNews.com