Cadangan bubar Parlimen dalam bidang kuasa PM sepenuhnya | DagangNews.com Skip to main content

Cadangan bubar Parlimen dalam bidang kuasa PM sepenuhnya

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

SHAH ALAM 4 Okt - Kuasa mencadangkan pembubaran Parlimen berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan tiada parti politik boleh mempengaruhi keputusan itu.

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu juga tidak pernah membincangkan secara terbuka mengenai tarikh pembubaran itu, sebaliknya memutuskan sendiri bila ia akan dibubar.

 

"Keputusan pembubaran ini tiada kena mengena dengan parti politik yang lain. Sebelum ini juga ia (tarikh) tidak pernah dibincangkan secara terbuka.

 

"Sebelum ini, PM (terdahulu) umum, maka bubarlah Parlimen. Mana ada parti lain beri pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.

 

"Bukan setakat perbincangan dengan parti lain, dengan parti sendiri pun tiada perbincangan. Kita tidak pernah cakap secara terbuka mengenai tarikh pilihan raya itu. Parti lain pun tak pernah, parti sendiri pun tidak pernah," katanya selepas sesi dialog awam Idea Bina Negara (IBN) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau tetap mengambil kira dan mendengar setiap cadangan yang diberikan dalam parti sendiri atau parti pembangkang.

 

"Dia (Perdana Menteri) rasa wajar untuk bubar, dia bubarlah. Jadi apa yang dicadangkan parti lain itu tidak boleh mengubah atau mempengaruhi dari segi pembubaran Parlimen.

 

"Tetapi setiap cadangan dan pandangan itu, saya akan tengok, namun ia tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, beliau sedar banyak pihak yang memperkatakan mengenai tarikh pembubaran itu, dengan pelbagai spekulasi timbul.

 

"Ada yang kata bubar sebelum bentang, ada pula kata bubar selepas bentang (Bajet 2023), iaitu Isnin ini. Ada juga yang kata bulan depan, tahun depan. Macam-macam (spekulasi), jadi kita tunggulah," katanya.

 

Semalam, Istana Negara menafikan laporan yang mendakwa Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen. Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

 

Menjawab spekulasi beliau bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan itu pada Khamis ini, katanya, pertemuan itu adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

 

"Kita tak tahu lagi bila akan bubar. Perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong lebih kepada Kabinet. Biasanya sebelum Mesyuarat Kabinet, saya akan persembahkan kepada Agong perkara yang dibincangkan, termasuk perkara berbangkit," katanya. - DagangNews.com