Bumi Armada ada peluang cerah raih projek Cameia - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada ada peluang cerah raih projek Cameia - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bumi Armada Bhd. dengan nilai wajar dinaikkan kepada 84 sen daripada 83 sen setelah prestasi kewangannya bagi tempoh sembila bulan mengatasi jangkaannya.

 

Susulan itu, ia menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 11 hingga 13%.

 

Semakan itu mengambil kira margin pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) yang lebih tinggi bagi bahagian operasi pengeluaran terapung (FPO) dan kos kewangan lebih rendah.

 

"Prospek jangka pendek hingga sederhana Bumi Armada kekal cerah kerana kami menjangkakan kumpulan akan memperoleh projek kapal Cameia FPSO TotalEnergies dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih suku ketiga Bumi Armada susut kepada RM149.7 juta disebabkan semakan nilai kapal

 

Upstream Online pada September lalu melaporkan Bumi Armada muncul sebagai pendahulu untuk menyediakan unit FPSO kepada projek CameiaGolfinho, luar pesisir Angola. 

 

Projek itu hanya melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan, dengan anggaran kos sekurang-kurangnya AS$1 bilion.

 

Kapal itu juga dijangka dilengkapi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari, serta disasarkan untuk mencapai pengeluaran minyak pertama menjelang 2025.

 

Setakat akhir suku ketiga, nilai kontrak kumpulan kekal teguh pada RM13 bilion, dengan tambahan pilihan lanjutan sehingga RM9.9 bilion.

 

Untung bersih Bumi Armada bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut 2.4% kepada RM149.7 juta daripada RM153.41 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan semakan semula yang lebih rendah dalam anggaran nilai baki kapal kumpulan.

 

Pendapatan pada suku berkenaan meningkat kepada RM653.07 juta daripada RM517.92 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 berikutan kemajuan yang lebih tinggi bagi kerja-kerja kontrak pembinaan dasar laut di Laut Caspian.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih Bumi Armada meningkat 14.9% kepada RM521.73 juta daripada RM456.07 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 9.2% kepada RM1.8 bilion daripada RM1.65 bilion.

 

Setakat 12.16 tengah hari, harga saham Bumi Armada kekal tidak berubah pada 44 sen. - DagangNews.com