BP Plastics akan terus raih margin keuntungan lebih baik, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

BP Plastics akan terus raih margin keuntungan lebih baik, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Selepas berjaya mengurangkan kos inventori yang tinggi, BP Plastics Holding Berhad akan meraih margin keuntungan yang lebih baik daripada produk filem pembungkusannya.  

 

CGS CIMB Research berkata, kumpulan itu berada dalam keadaan selesa dengan permintaan untuk produk pembungkusan itu yang kebanyakannya digunakan bagi produk makanan serta minuman (F&B).

 

Katanya, permintaan untuk produk pembungkusan bagi perabot dan logistik memerlukan masa untuk meningkat.

 

"Kumpulan itu menyatakan bahawa pengeluar perabot di Malaysia berdepan masalah kekurangan tenaga kerja sejak awal 2022, oleh itu mereka memerlukan masa beberapa bulan lagi untuk meningkatkan pengeluaran mereka ke tahap optimum," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mengakui bahawa ekonomi global semakin perlahan akibat gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan inflasi meningkat.

 

Katanya, kumpulan itu juga berdepan cabaran semasa seperti kenaikan kadar faedah, ketegangan geopolitik dan ketegasan China dengan dasar sifar COVID-19 boleh terus meredakan permintaan untuk produk pembungkusan plastik.

 

"Kumpulan berharap ekonomi global akan pulih semula pada 2HFY23 disokong oleh prospek hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China yang dingin, yang boleh membantu merangsang penggunaan semula sebaik sahaja wabak COVID-19 di China reda," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.34 sesaham.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap ujuran pendapatan.

 

"Kami tidak sepositif kumpulan itu bahawa permintaan jualan dan harga jualannya boleh berubah menjadi lebih baik menjelang 2HFY23, kerana ekonomi global memerlukan masa untuk pulih," katanya. - DagangNews.com