Biforst, NanoMalaysia bekerjasama penukaran trak EV pertama negara | DagangNews Skip to main content

Biforst, NanoMalaysia bekerjasama penukaran trak EV pertama negara

(Dari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim; Pengerusi Biforst, Datuk Dr Muhammad Abdullah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad ketika Malaysia Technology Expo 2023 di WTC KL pada 16 Mac 2023
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kumpulan penyelesaian logistik, Biforst Bhd (Biforst) mengumumkan hasratnya untuk melabur dalam pengangkutan bebas karbon dengan mengadaptasi Sistem Penyimpanan Tenaga Hibrid Hidrogen (H2SS) tercanggih pada kumpulan pengangkutannya menerusi kerjasama NanoMalaysia Bhd (NMB).

 

Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama di bawah program REVIVE (Rapid Electric Vehicle Innovation Validation Ecosystem) oleh NanoMalaysia akan menyaksikan penukaran trak ICE kepada kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia. 

 

Katanya, kerjasama itu membolehkan pembangunan, pengujian, penggunaan dan pengkomersialan sistem kuasa hibrid H2SS NMB berasaskan hidrogen, yang bertindak sebagai sumber kuasa tambahan kepada komponen EV yang bakal menggantikan enjin pembakaran dalaman.

 

"REVIVE ialah program kebangsaan untuk menukar kenderaan ICE termasuk bas, trak, motosikal dan kereta kepada EV. 

 

"Inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan penyesuaian EV secara alternatif selain daripada membeli EV baharu, yang secara amnya adalah 20-50% lebih mahal untuk menyokong sasaran Malaysia mengurangkan penggunaan karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon pada 2050," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan dan pengurusan projek akan dijalankan oleh NMB melalui anak syarikatnya, Nano Commerce Sdn Bhd (NCSB) sebagai penyedia penyelesaian teknologi, manakala Biforst akan bertindak sebagai pembekal trak dan penerima teknologi. 

 

Katanya, projek ini juga telah mengenal pasti penglibatan rakan usaha sama utama, termasuk TERAJU serta institusi pembiayaan tempatan terpilih yang lain, untuk memastikan penjajaran pihak berkepentingan dengan rantaian nilai, bekalan dan pelaksanaan yang berkesan. 

 

 

nano

 

 

nano

 

 

"Kerjasama dan integrasi teknologi ke dalam trak dan operasi logistik ini turut juga membuka kunci ekosistem yang dipacu kemampanan dan mewujudkan rantaian nilai produk serta perkhidmatan untuk memberi kesan kepada ekonomi tempatan secara positif yang sejajar dengan tonggak inovasi, kemampanan dan kemakmuran Malaysia MADANI," katanya. - DagangNews.com