Berkata benar dan hindari bohong ketika berkempen PRU15   | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 21 October 2022

Berkata benar dan hindari bohong ketika berkempen PRU15

 

 

PILIHAN raya umum Malaysia ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 November 2022 setelah Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memilih anggota Dewan Rakyat penggal baharu yang berjumlah 222 kerusi.

 

Pastinya bahang PRU15 semakin hangat apabila semua calon dan parti dibenarkan berkempen siang dan malam untuk memancing undi sama ada secara kempen fizikal atau digital.

 

Mutakhir, trend baharu dalam politik Malaysia memperlihatkan calon dan parti bertanding memanfaatkan platform media sosial dan digital dalam strategi kempen untuk meraih undi.

 

Para calon, jentera kempen pilihan raya, termasuk pemimpin utama parti dinasihatkan perlu menyampaikan maklumat secara benar dan telus semasa berkempen dalam menarik sokongan pengundi.


 

irsyad

 

 

Pengundi pula perlu bijak dan mempunyai pemikiran kritis dalam menilai dan menyaring maklumat yang diterima dari calon dan parti bertanding ketika kempen PRU15 dilaksanakan di seluruh negara.

 

Secara fitrah, manusia sukakan sesuatu kebaikan dan menolak keburukan. Apatah lagi sesuatu yang melibatkan urusan penting dalam kehidupan. Justeru, kempen PRU15 yang akan dilaksanakan perlu dipastikan mengandungi maklumat benar dan tidak melakukan pembohongan.

 

Tiada bohong sunat dalam Islam

Perlu ditegaskan bahawa Islam mendidik masyarakat agar berlaku jujur dan benar dalam setiap perbuatan serta pertuturan. Tiada istilah ‘bohong sunat’ atau ‘tipu sunat’ untuk kepentingan tertentu yang dibenarkan dalam Islam.

 

Berlaku jujur tidak bermaksud perlu menceritakan semua perkara aib yang pernah dilakukan kepada kelompok dan golongan yang tidak berkenaan. Cukuplah sekadar hanya menyatakan kesilapan yang telah berlaku agar dapat diperbaiki pada masa akan datang.

 

Namun, kesalahan yang mempunyai implikasi yang jelas dari aspek melanggar undang-undang mestilah dilaporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan sewajarnya supaya menjamin kesejahteraan semua pihak.
 

 

irsyad

 


Imam al-Nawawi menjelaskan bohong ialah mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang.

 

Firman Alah SWT yang bermaksud: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.” (Surah al-Hajj: 30)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Perbuatan dusta dan bohong sangat dilarang dalam Islam kerana boleh mendorong kepada lebih banyak perbuatan dosa dan kesinambungan dalam melakukan maksiat dalam kehidupan.

 

Seterusnya, hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila seorang hamba ALLAH berdusta, malaikat akan menjauhkan diri daripadanya (si pendusta tersebut) satu mil (jarak) kerana tidak senang dengan bau busuk yang diakibatkan oleh dusta tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)

 

Malaikat pun jauhkan diri

Perbuatan bohong sangat tercela sehinggakan malaikat turut sama menjauhkan diri daripada individu yang bersikap demikian walaupun hanya terpacul satu perkataan dusta sahaja.

 

Sekiranya dosa manusia dizahirkan dengan mengeluarkan bau busuk, sudah tentu sekeliling tempat akan berbau busuk dan tiada seorang pun yang mahu mendekati kerana tidak selesa.

 
 

irsyad

 


Demikianlah, perbuatan bohong sangat bertentangan dengan anjuran Islam agar penganutnya sentiasa berkata benar dan jujur. Berusahalah untuk hindari diri dari menjadikan perbuatan bohong sebagai tabiat.

 

Para calon, jentera dan pemimpin utama parti yang terlibat dengan PRU15 perlu bertanggungjawab dan matang dalam menyampaikan maklumat secara benar ketika berkempen meraih sokongan pengundi. – DagangNews.com

 

  

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD 

Portfolio Tags