Bank Islam, Mesinkira bekerjasama pacu transformasi digital usahawan mikro | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, Mesinkira bekerjasama pacu transformasi digital usahawan mikro

(Dari kiri) Noor Farilla Abdullah, Mohd Nazri Chik, Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar dan Nurullasyikin Ahmad bergambar ketika majlis menandatangani perjanjian antara Bank Islam dan Mesinkira pada 20 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac -  Bank Islam Malaysia Bhd menjalin kerjasama dengan Mesinkira Sdn Bhd untuk menggunapakai penyelesaian bersepadu pengurusan perniagaan mudah alih, termasuk menyokong pendigitalan operasi perniagaan usahawan-usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan.

 

Bank Islam dalam kenyataan memaklumkan, pelanggan pembiayaan mikro Bank Islam di bawah program iTEKAD merupakan usahawan-usahawan mikro yang akan memperoleh manfaat menerusi kerjasama ini.

 

Katanya, melalui kerjasama ini, Bank Islam akan terus membimbing usahawan mikro yang sebelum ini kurang mendapat akses perbankan untuk melayakkan mereka mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih Mesinkira. 

 

"Aplikasi tersebut akan membantu usahawan merekodkan hasil jualan secara digital, menerima bayaran menerusi pelbagai saluran, inventori, perbelanjaan perniagaan dan simpan kira yang seterusnya menghasilkan penyata kewangan lengkap sebagai dokumen sokongan perniagaan mereka untuk masa hadapan. 

 

"Selain itu, Bank Islam akan turut memanfaatkan penyelesaian Papan Pemuka Impak Mesinkira untuk menilai prestasi para usahawan mikro dengan lebih lanjut dan meneliti kecekapan program pembiayaan mikro yang disediakannya dalam mewujudkan peningkatan status sosioekonomi dalam kalangan usahawan terbabit," katanya.

 

Terdahulu, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik menandatangani perjanjian kerjasama tersebut bagi pihak Bank Islam, manakala Mesinkira diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar. 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah dan Ketua Pegawai Pengalaman Mesinkira, Nurullasyikin Ahmad.

 

Menurut kenyataan itu, penyelesaian bersepadu Mesinkira turut memperkasakan usahawan-usahawan mikro ke arah penyelesaian tanpa tunai dan menerima kaedah pembayaran digital seperti kad, bayaran digital, bayaran komunikasi medan dekat (NFC) dan e-dompet dengan lebih selamat. 

 

Katanya, kemudahan simpan kira bersepadu itu terus dihubungkan ke akaun semasa perniagaan usahawan-usahawan mikro selain menyediakan penyelesaian dalam membina kepercayaan kredit agar mereka dapat menikmati akses perbankan yang lebih meluas. 

 

Sementara itu, Mohd Nazri Chik berkata, Bank Islam menerusi strategi perniagaan lima tahunnya berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian kewangan lengkap patuh Syariah-ESG dan menerajui bidang perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025. 

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan Mesinkira dalam menyediakan ekosistem inklusif kepada segmen ini.

 

Jelasnya, pihaknya terus mengadakan libat urus dengan usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan di lapangan dan peka akan kekangan yang mereka hadapi, terutamanya aspek celik kewangan. 

 

"Kerjasama ini akan menyediakan peluang pertumbuhan kepada usahawan mikro dan membantu mereka celik kewangan. Usaha ini selaras dengan komitmen Bank Islam dalam mewujudkan impak sosial, yang mana kami menyokong ekonomi sebenar dan memupuk peningkatan isi rumah menerusi keusahawanan dan ekosistem kewangan sosial," katanya.

 

Syed Omar Almohdzar pula berkata, kerjasama dengan Bank Islam bertujuan meningkatkan celik kewangan dan pada masa sama memperkukuhkan rangkuman kewangan kepada segmen usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan. 

 

Katanya, kemudahan inovatif Mesinkira dapat mengurangkan kos dan memperluas akses kepada produk kewangan, seterusnya membolehkan perniagaan terlibat untuk berkembang maju. 

 

"Mesinkira turut menambah baik pendapatan bersih usahawan mikro dan lebih utama, membina kepercayaan kredit yang lebih kukuh kepada ekosistem ini," katanya.

 

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan kerjasama efektif dapat dicapai bersama Bank Islam bagi membina ekosistem yang lebih inklusif supaya dapat memenuhi keperluan pasaran sasaran, menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam menyokong segmen yang kurang mendapat akses perbankan. - DagangNews.com