Bajet 2023: Mampukah kerajaan pimpinan Ismail Sabri sedia bajet pilihan raya mesra rakyat? | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Mampukah kerajaan pimpinan Ismail Sabri sedia bajet pilihan raya mesra rakyat?

Analisis Berita oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 6 Okt -  Mampukah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyediakan sebuah bajet pilihan raya yang amat mesra rakyat?

 

Itulah yang amat dinantikan oleh setiap lapisan rakyat setelah terdapat pelbagai spekulasi bahawa Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.

 

Ini disebabkan pembentangan Bajet 2023 telah dipercepatkan tiga minggu lebih awal pada Jumaat (7 Oktober) dari yang telah dijadualkan sebelumnya.

 

Perdana Menteri dilaporkan akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat dan bukan sebagaimana lazim ianya dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

Bajet2023

Fokus Utama Bajet 2023

Ismail Sabri sebelum ini dipetik media tempatan sebagai berkata bahawa Belanjawan 2023 akan menyentuh setiap segmen masyarakat, dengan tumpuan untuk menyediakan semua orang untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia, yang dijangka akan lebih "suram" tahun hadapan.

 

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pra-bajetnya berkata Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pascaCOVID-19 yang semakin kukuh, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan serta rantaian nilai di samping memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan serta melaksanakan konsolidasi fiskal Kerajaan.

 

MOF berkata Bajet 2023 juga berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing dan impaknya terhadap prospek pertumbuhan global yang mengakibatkan tekanan inflasi terutamanya harga komoditi dan makanan serta gangguan bekalan.

 

Dalam konteks Malaysia, cabaran ini memerlukan pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan.

 

Kesejahteraan Rakyat diutamakan

Menurut MOF Bajet 2023 akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pembaharuan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dalam jangka masa sederhana. Keterangkuman akan turut diberi penekanan dengan tumpuan untuk memastikan kemampanan fiskal negara serta pengagihan kekayaan yang adil dan saksama.

 

 Menyedari kesan ketara ketidaktentuan geopolitik dan risiko iklim kepada negara, inisiatif berkaitan aspek kemampanan turut diambil kira dalam Bajet 2023.

 

Tempoh pascaCOVID-19 ini penting untuk melaksanakan pembaharuan yang akan 5 memperkukuh daya tahan Malaysia terhadap kejutan masa hadapan supaya negara kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran baharu serta mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi dalam jangka masa sederhana.

 

Semasa menyedia dan memuktamadkan Bajet 2023, MOF berkata Kerajaan komited melaksanakan sesi libat urus dengan orang awam dan pihak berkepentingan secara meluas untuk mendapatkan input dan cadangan selaras dengan keutamaan yang telah dikenal pasti bagi Bajet 2023.

 

Laksanakan semula GST

Terdapat pihak yang mahukan kerajaan melaksanakan semula Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat praktikal dan dapat membantu kerajaan tambah pendapatan.


 

Datuk Profesor Dr Naim Mohamad
Datuk Profesor Dr Naim Mohamad

 


Timbalan Presiden, Persatuan Perhubungan Perdagangan Antarabangsa China Malaysia (MACITA), Datuk Profesor Dr Naim Mohamad berkata GST wajar dilaksanakan semula kerana Kerajaan akan memperolehi kutipan cukai yang bertambah yang boleh diagihkan untuk membantu rakyat yang memerlukan serta melaksanakan projek kemasyarakatan.

 

“Kerajaan harus melaksanakan semula GST kerana sistem asas cukai yang lebih besar akan meningkatkan cukai tidak langsung dan memberikan keanjalan untuk mengurangkan cukai langsung bagi menjadikan Malaysia destinasi perniagaan yang lebih menarik,” katanya kepada DagangNews.

 

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus dan ia telah memberi sumbangan yang agak besar kepada pendapatan negara.

 

Namun, ia dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan digantikan dengan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 

Apa rakyat biasa mahu

Suri rumah Puteri Nur Nadiah Ahmad berharap kerajaan harus memperuntukkan di setiap kawasan untuk mengagihkan keperluan asas seperti beras, minyak atau gula kepada golongan yang berpendapatan rendah, termasuk ibubapa tunggal dan warga emas dan miskin bandar.

 

Bercakap kepada DagangNews, beliau menyaran agar kerajaan menumpukan kepada keperluan asas rakyat dengan menyediakan perumahan dan kediaman kondusif kepada golongan ini.


 

Puteri Nur Nadiah Ahmad
             Puteri Nur Nadiah Ahmad

 


Katanya kerajaan harus melantik jawatankuasa khas bagi memantau serta memastikan golongan ini menerima bantuan yang sepatutnya.

 

“Dengan memperuntukkan belanjawan keperluan asas bagi golongan yang disebutkan itu, ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan keluarga Malaysia, ujar Nadia. - DagangNews.com