Bajet 2023: KPM beri penekanan terhadap 3 teras utama | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: KPM beri penekanan terhadap 3 teras utama

PUTRAJAYA 4 Okt - Sebanyak 11 inisiatif dengan tiga teras utama berkaitan murid, guru dan infrastruktur melibatkan peruntukan RM6.8 bilion merupakan ‘senarai yang diharapkan’ yang telah dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM), untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

 

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata antara inisiatif tersebut ialah peranti guru ke arah pendigitalan pendidikan, menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan infrastruktur bagi sekolah pendidikan khas.

 

“Memandangkan kita bergerak ke arah pendigitalan pendidikan, peranti untuk guru merupakan satu komponen penting untuk mendigitalkan pendidikan, termasuk menggunakan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya, lapor Bernama.

 

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini, Radzi berkata inisiatif peranti guru membabitkan kos RM2.8 bilion, perlu diberi perhatian khusus kerana mereka tidak disediakan ‘stesen kerja' atau komputer riba, seperti kakitangan awam yang lain.

 

Beliau berkata, KPM juga memohon untuk kadar RMT yang sekarang ini RM2.50 dinaikkan kepada kadar yang bersesuaian, dengan mengambil kira situasi semasa.

 

Radzi berkata tumpuan kepada infrastruktur untuk murid berkeperluan pendidikan khas juga ditekankan, supaya golongan tersebut dapat bersama anak-anak lain dalam arus perdana dan kecekapan yang sama.

 

Beliau berkata KPM turut memohon peruntukan khusus untuk menggalakkan pendaftaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang dilihat semakin hari semakin menurun.

 

“Enrolmen STEM memerlukan intervensi menyeluruh dan peruntukan khusus untuk perkara berkaitan STEM, supaya enrolmen dalam masa pelajaran STEM terus ditingkatkan bagi menyediakan modal insan masa hadapan, yang mempunyai kepakaran supaya Malaysia dapat bersaing di peringkat dunia,” katanya. - DagangNews.com