Bahagian perladangan CB Industrial Product dijangka terus catat kerugian pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Bahagian perladangan CB Industrial Product dijangka terus catat kerugian pada FY23 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Bahagian perladangan CB Industrial Product Holding Berhad dijangka terus mencatat kerugian pada FY23 selepas mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM12.8 juta pada FY22.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kos pengeluaran yang tinggi bagi setiap tan, hasil buah tandan segar (BTS) yang rendah dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lemah dijangka memberi kesan kepada pendapatan FY23.

 

"Kecuali pada FY21, bahagian perladangan kumpulan mengalami kerugian sejak FY13," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu dijangka menunjukkan prestasi lebih baik pada FY23 dengan ketiadaan rosot nilai ke atas penghutang dan pelaburan berjumlah RM44.9 juta pada FY22.

 

Firma itu, bahagian penapisan kumpulan mengiktiraf kerugian derivatif sebanyak RM16.8 juta pada FY22.

 

Firma itu berkata, bahagian kejuruteraan kilang kumpulan itu berharap untuk memperoleh kontrak RM200 juta pada FY23 berbanding RM160 juta pada FY22.

 

Kontrak itu dijangka datang dari Indonesia. Kebanyakan pekerjaan dijangka berkaitan dengan naik taraf kilang.

 

"Syarikat perladangan kini menumpukan kepada pemerolehan bank tanah dan menaik taraf infrastruktur dan bukannya kilang kelapa sawit.

 

"Juga disebabkan kejatuhan penanaman baru di Indonesia sejak 2012, permintaan untuk kilang kelapa sawit telah menurun. Secara amnya, kilang kelapa sawit diperlukan untuk kawasan matang seluas 7,000 hingga 10,000 hektar," katanya.

 

Firma itu percaya, bahagian kejuruteraan kilang kumpulan akan dapat mengekalkan margin keuntungannya sebanyak 15% hingga 20% pada FY23.

 

Katanya, kumpulan itu tidak terjejas oleh turun naik kos keluli kerana kos keluli dimasukkan dalam nilai kontrak.

 

"Kumpulan itu juga tidak akan terjejas dengan ketara oleh tarif elektrik yang lebih tinggi kerana keluli menyumbang 40% daripada kos pengeluaran manakala elektrik menyumbang kurang daripada 10%," katanya. - DagangNews.com