AZRB sahkan UEM Edgenta tarik balik petisyen penggulungan  | DagangNews Skip to main content

AZRB sahkan UEM Edgenta tarik balik petisyen penggulungan 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jan - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) mengesahkan anak syarikat milik penuh UEM Edgenta Bhd., Edgenta Propel Bhd. (EPB) secara rasmi menarik balik petisyen penggulungannya terhadap unit AZRB, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB).

 

Jumaat lalu, UEM Edgenta berkata, EPB menggugurkan petisyen penggulungan terhadap AZSB, selepas kedua-duanya bersetuju bersama AZSB akan menjelaskan jumlah tertunggak RM11.05 juta melalui 11 ansuran bulanan.

 

AZSB perlu membayar ansuran bulanan kepada EPB mulai 31 Mac 2023 hingga 31 Januari 2024, beserta faedah dari tarikh asal pembayaran yang dinyatakan dalam penghakiman persetujuan.

 

Jumlah tertunggak itu berkaitan dengan kerja subkontrak untuk perlindungan dan penempatan semula utiliti yang diberikan EPB kepada AZSB di bawah projek Transit Aliran Massa Lembah Klang Laluan Putrajaya (MRT2) pada 2016.

 

"Syarikat ingin mengumumkan bahawa AZSB telah menerima pemberitahuan daripada pempetisyen (EPB) bahawa petisyen itu telah dibatalkan dengan kebebasan untuk memfailkan semula,” menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada April 2021, AZSB menyaman EPB sebanyak RM23.75 juta sebagai ganti rugi yang dipastikan, dan RM1.85 juta dalam perbezaan kos yang ditanggung oleh AZSB, melibatkan subkontraktor gantian pihak ketiga untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut.

 

Sebulan kemudian, EPB menyusul dengan tuntutan balas sebanyak RM10.6 juta terhadap AZSB atas alasan AZSB telah melanggar subkontrak apabila ia antara lain gagal/mengabaikan atau enggan membuat pembayaran penuh tuntutan diperakui EPB untuk kerja yang telah dilakukan, dan menyebabkan kelewatan dalam kerja-kerja berkaitan.

 

Selepas itu, perintah persetujuan telah direkodkan di Mahkamah Tinggi pada 27 Julai 2022, di mana pihak-pihak bersetuju, antara lain, bahawa AZSB akan membayar EPB sejumlah RM10.65 juta melalui 10 ansuran bulanan mulai 30 November 2022 hingga 31 Ogos 2023. AZSB juga akan membayar EPB sebanyak RM400,321 pada atau menjelang 30 September 2023.

 

Bagaimanapun, AZSB, gagal membuat bayaran ansuran bulanan pertama yang perlu dibayar pada 30 November 2022, yang menyebabkan EPB memfailkan petisyen penggulungan terhadap AZSB pada 3 Januari 2023. - DagangNews.com