AmInvestment jangka Perak Transit mampu kekalkan trajektori pertumbuhan bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka Perak Transit mampu kekalkan trajektori pertumbuhan bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - AmInvestment Bank Research menjangkakan Perak Transit Bhd. mampu mengekalkan trajektori pertumbuhan pendapatannya terutama didorong jualan yang lebih kukuh daripada terminal bas di tengah-tengah pemulihan ekonomi dalam era pasca pandemik.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat pengangkutan terminal bersepadu itu dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM1.36 daripada RM1.06 sesaham sebelum ini.

 

Malah, ia turut menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 sebanyak 7 hingga 9% dengan mengambil kira penambahbaikan berurutan dalam kedatangan pengunjung dan kadar penghunian bagi operasi terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT).

 

Menurutnya, operasi PITT merekodkan peningkatan 16% tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 terutamanya daripada tambahan jualan sewaan membabitkan dua penyewa logistik di Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral sejak mula beroperasi pada September 2021.

 

Katanya, prestasi positif yang ditunjukkan dengan penambahbaikan berturut-turut dalam kadar penghunian Kampar Putra Sentral terhadap peningkatan prospek ekonomi domestik, dengan sasaran untuk mencecah 70% pada tahun-tahun akan datang (daripada 50% pada masa ini), akan membantu mengekalkan pertumbuhan kumpulan.

 

"Selain itu, ia turut dipengaruhi sumbangan hasil yang pertama daripada Bidor Sentral pada separuh kedua FY23, dengan pembinaan terminal itu telah pun bermula sejak FY21.

 

"Sewa setahun penuh daripada dua penyewa perniagaan logistiknya pada FY22 pula dijangka menyumbang antara RM30 juta hingga RM36 juta setahun. Potensi peningkatan tambahan ini didorong daripada penyewa tambahan di bawah model perkongsian hasilnya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Perak Transit meningkat kepada RM15.03 juta daripada RM13.65 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM45.61 juta daripada RM35.23 juta. 

 

Pendapatan dan keuntungan lebih tinggi itu terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi terminal pengangkutan awam bersepadu dan operasi stesen minyak.

 

Ini menyaksikan keuntungan bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan meningkat kepada RM44.15 juta daripada RM40.51 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM128.39 juta daripada RM105.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penarikan balik sekatan pergerakan sejak April lalu menyaksikan hasil stesen minyak bagi tempoh sembilan bulan melonjak 62% tahun ke tahun, disokong jualan bahan api dan runcit yang lebih tinggi.

 

Menurut AmInvestment, saham Perak Transit kini diniagakan dengan harga perusahaan (PE) FY23 yang menarik sebanyak 15x berbanding tiga tahun purata lebih 20x.

 

Katanya, sahamnya menawarkan pelabur peluang yang baik untuk memiliki perniagaan infrastruktur awam yang berdaya tahan.

 

"Kumpulan juga berhasrat untuk meniru model perniagaan berulangnya di negeri lain selain Perak untuk memacu pertumbuhan prospektif yang lebih pantas," katanya.

 

Setakat 12.17 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.89% kepada RM1.13 dengan 2.99 juta saham diniagakan. - DagangNews.com