Amanah Hartanah Bumiputera isytihar agihan pendapatan 5% bagi 2022 | DagangNews Skip to main content

Amanah Hartanah Bumiputera isytihar agihan pendapatan 5% bagi 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Okt - Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan akhir sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Sept 2022.

 

Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkata ini terdiri daripada pengagihan pendapatan asas 2.18 sen seunit dan agihan bonus 0.32 sen seunit.

 

Pembahagian bonus sebanyak 0.32 sen disumbangkan oleh PHB, selaku penaja AHB.

 

Pengagihan bonus hanya terhad kepada 500,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pda April lalu, PHB dan MAM telah mengumumkan agihan pendapatan interim AHB sebanyak 2.15 sen seunit dengan agihan bonus 0.35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.

 

Ini menjadikan jumlah agihan pendapatan kepada 5.00 sen seunit atau bersamaan 5% setahun, dengan jumlah agihan sebanyak RM183.06 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 Sept 2022.


 

PHB Datuk Mahmud Fauzi Muda
                                    Datuk Mahmud Fauzi Muda

 


Pengarah Urusan Kumpulan PHB Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, walaupun menghadapi cabaran pasaran, aktiviti pemajakan telah bertambah baik secara beransur-ansur pada 2022 berbanding 2021.

 

Dengan pengagihan pendapatan terbaru ini, AHB telah membayar kira-kira RM1.87 bilion pendapatan dividen kepada pemegang sahamnya sejak 2011, kata Mahmud Fauzi.

 

PHB ialah cabang operasi tunggal Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah di bawah bidang kuasa Kerajaan Malaysia.

 

Harga AHB ditetapkan pada RM1 seunit, dengan ciri menarik seperti pengeluaran segera, pematuhan syariah dan pengagihan pendapatan dua kali setahun.

 

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif MAM Ahmed Muzni Mohamed berkata, “Seperti yang diumumkan semasa pengagihan pendapatan interim pada April 2022, pengurus dana akan terus melaksanakan skim pelaburan semula, di mana pendapatan akan diagihkan dalam bentuk unit dan/atau tunai, terutamanya kepada pemegang unit runcit”.

 

Beliau berkata pemegang unit runcit dengan purata baki bulanan minimum 10,000 unit atau kurang akan menerima agihan pendapatan secara tunai, manakala mereka yang mempunyai lebih daripada 10,000 unit akan menerima agihan pendapatan dalam unit AHB. Pemegang unit institusi akan terus menerima agihan pendapatan secara tunai.

 

"Pelabur yang menerima pengagihan pendapatan dalam unit AHB mempunyai pilihan untuk menukar unit AHB mereka kepada tunai di cawangan bank, kerana AHB membenarkan pengeluaran atau penebusan segera," kata Ahmed Muzni. - DagangNews.com