Alliance Bank laksana kempen BeESG pacu pelbagai inisiatif bantu PKS | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank laksana kempen BeESG pacu pelbagai inisiatif bantu PKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Alliance Bank melaksanakan kempen terbaru yang dikenali “BeESG” yang bertujuan untuk memacu pelbagai inisiatif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

BeESG membantu perniagaan membina kelebihan daya saing menerusi penerimaan amalan alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) untuk menjadi sedia perdagangan mampan.


 
Kempen ini dimulakan dengan penyertaan bank dalam United Nations Global Compact (UNGC), inisiatif kemampanan korporat yang terbesar di dunia, dalam rangkaian Malaysia dan Brunei yang terdiri daripada 182 peserta sehingga kini.

 

Langkah ini menandakan komitmen Alliance Bank terhadap usaha ESG yang mana bank merupakan satu-satunya institusi kewangan yang mempunyai perkongsian strategik dengan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Bursa Malaysia dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

 

Bank turut meraikan satu lagi inisiatif utama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UNGCMYB. Alliance Bank merupakan institusi kewangan Malaysia pertama yang mencapai kerjasama ini untuk mendekati PKS melalui pelbagai program untuk memperkasakan PKS, bagi menerima ESG dalam amalan perniagaan mereka. 

 

Ikatan strategik ini memberi tumpuan kepada platform UNGCMYB untuk mendekati PKS. Platform yang dinamakan Action Centre for Sustainable SMEs (ACCESS) menyediakan pelbagai alat dan sumber untuk PKS meningkatkan agenda kemampanan mereka.

 

Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum berkata, PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara. 

 

 

alliance

 

 

"Apa sahaja yang mereka lakukan akan memberikan kesan berganda terhadap komuniti dan persekitaran. Kami di Alliance Bank percaya bahawa ESG mampu memberi kelebihan daya saing kepada perniagaan untuk membina cadangan yang unik dan menguntungkan selain menambah nilai dan menyumbang kembali kepada masyarakat dan bumi yang kita diami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Aaron, dengan menerapkan amalan ESG seawal mungkin membantu mengukuhkan kedudukan perniagaan untuk merebut lebih banyak peluang dan menjadikan syarikat mereka lebih berdaya tahan.

 

“Matlamat kami adalah untuk menawarkan mereka sokongan kewangan dan bukan kewangan, nasihat dan latihan melalui rakan kongsi kami yang mana mereka mempunyai akses kepada semua sokongan yang mereka perlukan. Langkah ini membantu mengurangkan halangan untuk perniagaan menerima pakai kemampanan," katanya.

 

Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar pula berkata, memiliki institusi kewangan pertama mereka sebagai rakan kerja dalam usaha untuk membantu perniagaan melaksanakan amalan kemampanan akan meningkatkan ekosistem yang sedia ada demi menjadikan penggunaan ESG sebagai nilai tambah yang jelas.

 

Beliau berkata, amalan kemampanan juga dikaitkan dengan prestasi kewangan yang lebih baik dan daya tahan serta daya saing perniagaan berjangka panjang. 

 

“Ia juga membantu memajukan sumbangan perniagaan ke arah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mewujudkan ekonomi yang lebih mampan," katanya. - DagangNews.com