AirAsia tawar tambang serendah RM21 sempena ulang tahun ke-21 | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM21 sempena ulang tahun ke-21

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - AirAsia meraikan ulang tahun ke-21 dengan jualan tambang termasuk semua sehala daripada RM21 sehingga 4 Disember 2022.

 

Jualan yang dilancarkan sejak semalam itu untuk tempoh perjalanan antara 1 Mac 2023 dan 30 Mac 2024 dengan pilihan perjalanan lebih fleksibel dalam tempoh 12 bulan. 

 

Bermula daripada RM21, para tetamu boleh menikmati lebih nilai ke pelbagai destinasi kegemaran mereka seperti Langkawi, Pulau Pinang, Krabi, Terengganu, Singapura, Phu Quoc dan banyak lagi destinasi jarak dekat yang lain. Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App atau laman web.

 

Para tetamu yang ingin melancong ke destinasi yang lebih jauh kini boleh terbang bersama AirAsia X ke Perth, Taipei, Tokyo, Seoul, Melbourne, Auckland dan banyak lagi. 

 

Destinasi jarak jauh ini tersedia untuk tempoh perjalanan mulai hari ini sehingga 30 April 2023 daripada RM399 untuk tempat duduk ekonomi, atau RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed.

 

Bukan itu sahaja, tetamu juga berpeluang menikmati promosi terhad dan hidangan dalam penerbangan percuma dari Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu. 

 

Nikmati hidangan Santan airasia dalam penerbangan ke destinasi popular untuk tempahan penerbangan yang dibuat mulai sekarang sehingga 30 November 2022. Pelbagai hidangan percuma seperti juadah Asia, antarabangsa dan vegetarian tersedia untuk tempoh perjalanan antara 1 Disember 2022 hingga 30 Mac 2024. 

 

 

airasia

 

 

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan (Penerbangan), Karen Chan berkata, mereka berbesar hati untuk menyambut ulang tahun ke-21 tahun sebagai peneraju tambang rendah kepada lebih 700 juta tetamu.

 

 “Lazimnya, hanya golongan yang berpendapatan tinggi sahaja mampu untuk menaiki penerbangan tetapi AirAsia telah merevolusikan serta mendemokrasikan industri penerbangan dengan menjadikannya berpatutan untuk semua. 

 

"Jutaan tetamu kami merupakan pelancong kali pertama yang tidak mampu menaiki penerbangan sebelum AirAsia memulakan operasinya pada 8 Disember 2001. 

 

 

airasia

 

 

"Selama 21 tahun, kami bukan sahaja menghubungkan para tetamu dengan orang tersayang, malah ke destinasi baharu yang unik dengan tambang berpatutan. Kami kekal komited untuk menyediakan akses kepada perjalanan udara dengan lebih nilai untuk semua.

 

 “AirAsia dipacu oleh bakat dan inovasi kukuh yang telah menjadikan kami sebuah platform pelancongan sehenti. Sempena ulang tahun ini, kami ingin menawarkan tambang rendah kepada tetamu kami ke destinasi kegemaran mereka. Terima kasih kerana anda terus setia menyokong kami selama 21 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com