airasia ride, Perhebat jalin kerjasama tawar peluang pekerjaan kepada veteran tentera Malaysia | DagangNews Skip to main content

airasia ride, Perhebat jalin kerjasama tawar peluang pekerjaan kepada veteran tentera Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Platform e-panggilan, airasia ride menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor itu untuk veteran tentera di Malaysia.

 

Kerjasama itu merupakan antara inisiatif di bawah Program Pasca Latihan Peralihan oleh Perhebat yang membimbing veteran ATM untuk kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan bersama ATM.  

 

airasia ride dan Perhebat akan bekerjasama bagi menghasilkan modul latihan yang bersesuaian untuk membantu membangunkan kemampuan sara diri, pengetahuan operasi e-panggilan serta pemanduan selamat. 

 

airasia ride juga akan membimbing peserta dalam proses memohon lesen dan permit yang diperlukan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan berkata, industri e-panggilan semakin pesat berkembang dan pihaknyasentiasa mahu menjemput lebih ramai pemandu terlatih dan profesional yang boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. 

 

Beliau berkata, menerusi program Pemandu Sepenuh Masa itu, bukan sahaja bekas tentera dapat memperoleh pendapatan lebih, tetapi juga diberikan faedah yang lebih baik dan prospek kerjaya yang lebih baik dengan airasia.

 

airasia

 

"Pemandu sepenuh masa akan memperoleh pendapatan asas bulanan RM2,500 hingga RM3,500 termasuk faedah bahan api, dan peluang untuk memperoleh jumlah pendapatan sehingga RM8,000 dengan skim insentif pemandu tambahan, di samping faedah pekerja sebagai Allstar.

 

"Kemudaha itu termasuk KWSP, Perkeso, perlindungan perubatan yang melindungi pasangan dan anak mereka, cuti tahunan serta faedah perjalanan lain seperti kadar diskaun kakitangan yang banyak untuk penerbangan AirAsia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Perhebat, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebagai sebuah institusi latihan yang responsif dan dinamik, pihaknya sedar dan perlu bergerak seiring dengan perubahan dan permintaan pasaran. 

 

"Kami amat teruja dengan kerjasama bersama airasia ride untuk meneroka pelbagai peluang demi manfaat bersama. Kolaborasi dengan airasia ride adalah antara inisiatif di bawah Program Pasca Latihan Peralihan untuk melatih dan membimbing Veteran ATM yang sukar mendapat pekerjaan melalui program reskilling dan upskilling. 

 

"Perhebat juga berperanan memantau kerjaya kedua veteran selepas enam bulan tamat perkhidmatan sehingga lima tahun selepas tempoh tersebut. Veteran dibimbing melalui kaedah khidmat nasihat, coaching, mentoring serta jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta," katanya. - DagangNews.com