Agong berkenan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 | DagangNews Skip to main content

Agong berkenan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Nov - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

 

Dalam kenyataan rasmi Istana Negara hari ini, setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

 

"Ini adalah selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

 

Terdahulu, Seri Paduka Baginda telah mempengerusikan perbincangan khas dengan Majlis Raja-Raja Melayu pada pukul 11 pagi bagi proses pelantikan PM baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu.

 

Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai PM yang dijadual berlangsung pukul 5 petang hari ini di Istana Negara.



 

agong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

 


Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa ``yang menang tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua".

 

"Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta," kata kenyataan Istana Negara lagi.

 

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

 

"Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan," kata kenyataan itu lagi.

 

Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

 

Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.

 

"Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," kata kenyataan Istana Negara.

 

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berpelembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang.

 

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian mendalam.

 

"Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah, dijaduhi dari sebarang bencana dan musibah," kata kenyataan Istana Negara. - DagangNews.com