Aeon tawar hadiah RM80,000 untuk juara program Raja Viral | DagangNews Skip to main content

Aeon tawar hadiah RM80,000 untuk juara program Raja Viral

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Aeon Co. (M) BHD. (Aeon) menjalin kerjasama dengan selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi berserta aplikasi media sosial tersohor, TikTok untuk menerbit siri kandungan digital interaktif yang berjudul Raja Viral. 

 

Aznil seorang pengacara dan pelakon popular, selaku pencipta bersama siri Raja Viral yang akan memulakan siarannya di saluran TikTok Aeon Retail Malaysia dan YouTube Aeon Malaysia bermula 2 Disember ini.

 

Raja Viral akan menyaksikan seramai 12 pempengaruh TikTok berusaha menyiapkan tugasan diberikan selama 8 minggu untuk berebut hadiah wang tunai RM80,000. 

 

Menariknya, sebahagian besar peserta mula berjinak dalam dunia TikTok sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana di seluruh negara dengan menghasilkan kandungan video kreatif sehingga tular. 

 

Sepanjang pertandingan, peserta dikehendaki mencipta kandungan video baharu mengikut tema berbeza setiap minggu seperti mengedit, ulasan makanan, resepi inspirasi dan juga parodi. 

 

Mereka akan dibimbing oleh Aznil yang juga mentor dan juri utama Raja Viral untuk menjadi duta jenama yang lebih baik. Selain itu, Aeon akan menyediakan 3 sesi bengkel yang dikendalikan TikTok Creative Lab untuk semua peserta. 

 

Menurut Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran Aeon Malaysia, Low Ngai Yuen, menerusi Raja Viral, Aeon menyasarkan pendekatan untuk merapati konsumer dalam kalangan generasi muda yang amat aktif di atas talian untuk memperolehi sumber hiburan dan informasi. 

 

 

aeon
Datuk Aznil Nawawi (kanan) bersama sebahagian peserta Raja Viral yang akan memulakan siarannya di saluran TikTok Aeon Retail Malaysia dan YouTube Aeon Malaysia bermula 2 Disember 2022

 

 

"Selain itu, Aeon juga berazam untuk mengembangkan komuniti pencipta digital yang boleh mengubah impak tular kepada positif terhadap orang ramai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Nantikan siri Raja Viral setiap Jumaat di YouTube Aeon Malaysia dan TikTok Aeon Retail Malaysia mulai 2 Disember ini. 

 

Episod Finale yang mengumumkan pemenang Raja Viral akan disiarkan secara langsung di TikTok di bulan Februari 2023. Raja Viral dijayakan dengan sokongan Birds of Paradise dan Carrie Junior selaku penaja utama. - DagangNews.com