5 pemegang saham Classita mohon injunksi halang EGM 27 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

5 pemegang saham Classita mohon injunksi halang EGM 27 Mac 2023

KUALA LUMPUR 21 Mac - Dalam kemelut perebutan kuasa Lembaga Pengarah yang seakan tidak berkesudahan, lima pemegang saham Classita Holdings Bhd (dulunya Caely Holdings Bhd), memohon injunksi untuk menghalang syarikat pembuat pakaian dalam itu daripada mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 27 Mac untuk mengundi cadangan terbitan hak kumpulan itu.

 

Para pemegang saham berkenaan cuba untuk menghalang kumpulan tersebut daripada mengadakan EGM sementara menunggu pelupusan tuntutan mahkamah di mana mereka ingin mengambil tindakan undang-undang bagi pihak kumpulan terhadap ahli lembaga pengarah dan vendor.

 

Selain itu, permohonan injunksi juga bertujuan untuk menghalang Classita daripada mengadakan sebarang EGM lain yang bertujuan untuk melupuskan, menukar atau mencairkan komposisi kepentingan pemegang saham kumpulan.

 

“Notis permohonan yang dimeterai menyatakan bahawa perbicaraan bagi perkara di atas ditetapkan pada hari Jumaat (24 Mac), tetapi peguamcara plaintif (pemegang saham) memaklumkan melalui suratnya bahawa perbicaraan itu ditetapkan pada hari Rabu (22 Mac) sebaliknya,” kata Classita dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Lima pemegang saham yang memfailkan permohonan saman dan injunksi ialah Datuk Seri Tee Yam, Datuk JP Low Kok Chuan, Leow Boon Kin, Zhang Jia dan bekas pengerusi eksekutif Datin Seri Jessie Wong Siaw Puie.

 

Secara kolektif, mereka memiliki 67.2 juta saham atau 19.82% pegangan dalam Classita. Tee Yam ialah pemegang saham terbesar antara lima, memegang 49.38 juta saham atau 14.57% kepentingan.

 

Dalam saman mereka yang difailkan minggu lalu, lima pemegang saham itu berusaha untuk memulakan tindakan undang-undang bagi pihak Classita terhadap lembaga pengarah kumpulan serta vendor atas dakwaan melanggar tugas fidusiari, penipuan dan konspirasi untuk menjejaskan kumpulan berhubung pemerolehan saham dalam Kepayang Heights Sdn Bhd dan urus niaga lain yang berkaitan.

 

Ahli lembaga pengarah yang disaman ialah pengarah eksekutif Francis Leong Seng Wui, Kang Chez Chiang, Ng Keok Chai, Krishnan Dorairaju, Chong Seng Ming, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, Kenny Khow Chuan Wah dan Chin Boon Long; pihak lain ialah Kepayang Heights dan Harvest Miracle Capital Bhd.

 

Selain itu, pemegang saham juga memohon kebenaran mahkamah untuk bertindak bagi pihak Classita dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh, ditambah satu lagi saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan rayuan di Mahkamah Rayuan.

 

Terbitan hak yang dicadangkan Classita melibatkan terbitan sehingga 965.4 juta saham berdasarkan lima saham hak bagi setiap dua saham sedia ada yang dipegang, bersama sehingga 579.2 juta waran berdasarkan tiga waran bagi setiap lima saham hak yang dilanggan.

 

Saham Classita susut 5 sen atau 3.03% menjadi 16 sen pada pukul 9.50 pagi ini, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM52.82 juta. - DagangNews.com