Chong Wei mahu belikan Mew Choo 'siakap kayangan' | DagangNews Skip to main content

Chong Wei mahu belikan Mew Choo 'siakap kayangan'

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berhasrat untuk menghadiahkan 'siakap kayangan' yang tular di Langkawi bersempena dengan sambutan ulang tahun kesembilan perkahwinannya bersama Datin Wong Mew Choo.

 

Sebelum ini tular dalam media sosial serta media arus perdana mengenai harga ikan siakap yang mencecah harga RM1,000 di Kilim Geoforest Park hingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat negara ini.

 

"Ulang tahun kali ini agak sederhana tapi saya akan membelikan awak ikan siakap dari Langkawi," tulisnya di laman Instagram.

 

Chong Wei yang juga dikenali sebagai King of Super Series turut mengimbau kembali pengalamannya melamar Mew Choo di Australia, beberapa tahun lalu dan dia mengakui saat paling mendebarkan dalam hidupnya.

 

"Saya tidak pernah tahu bagaimana untuk bermimpi hinggalah saya bertemu awak @wongmewchoo.

 

"Beberapa tahun lalu apabila saya melamar awak di Gold Coast, ia satu saat paling gementar dalam kehidupan saya. Lebih gan-jiong (pinjam sikit ayat Tan Boon Heong) berbanding final Olimpik. Lebih gan-jiong berbanding mengambil keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Saya berlatih ucapan itu banyak kali tetapimasih gagap dan tidak selaras langsung.

 

"Jantung saya berhenti seketika apabila awak berdiam diri selepas saya mengajukan soalan itu. Adakah saya tidak terlalu cukup bagus buat awak? Adakah saya tidak cukup tampan buat awak? Saya lihat di cermin setiap hari, bukan Andy Lau tapi boleh cari makan ma muka saya. Tapi mujurlah, selepas lama berdiam diri, awak menangis dan berkata ya! 

 

"Sampai hari ini saya tidak boleh percaya kita sebenarnya bersama. Dengan dua anak lelaki yang tampan. Tidak sabar untuk meniti hari tua bersama. Berjalan seiringan. Saya berjanji dengan kedua ibu bapa awak saya akan menjaga awak apabila saya memegang tangan awak. Saya akan menunaikan janji itu.

 

"Selamat ulang tahun kesembilan, laopo (isteriku)," katanya.

 

Bagi menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 tahun depan, Chong Wei sudah bercadang untuk mengadakan keraian secara romantik dengan harapan situasi penularan Covid-19 semakin baik.-DagangNews.com