Cabaran getir pada 2022 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 1 January 2022

CABARAN GETIR PADA TAHUN 2022

Sin Chew Jit Poh, 31 Dis 2021

 

 

 

MENUTUP tirai 2021, adakah dunia akan menjadi bertambah baik, lebih stabil, boleh dikawal dan diramalkan? Pasti mengecewakan orang ramai kerana jawapannya adalah “tidak”!

 

Selepas dua tahun hidup dengan COVID-19, penemuan vaksin memberi harapan kepada orang ramai pengakhiran pandemik ini.

 

Tetapi apabila virus varian baharu Omicron melanda dunia dan menggandakan bilangan jumlah yang dijangkiti, harapan untuk melihat penamatan pandemik adalah sukar.

 

Justeru, 2022 masih akan menyaksikan rata-rata negara membuka kemudian menutup semula sempadan pintu masuk bagi mengekang penularan.

 

Banyak negara Barat seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat masih berpegang kepada dasar sosial terbuka kerana keadaan rakyat dan ekonomi yang tidak bersedia untuk penutupan jangka panjang.

 

Sebaliknya pula dengan China kerana 2022 adalah tahun yang sangat penting kepada negara itu.

 

Di peringkat antarabangsa, Olimpik Musim Sejuk 2022 akan diadakan di China manakala peringkat dalaman pula, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) akan diadakan pada musim luruh 2022.

 

Berdasarkan dua faktor di atas, dijangkakan China hanya akan melaksanakan pembersihan sifar yang lebih ketat.


 

apa

 


PKC sebelum ini juga telah mentakrifkan keupayaan mereka untuk mengawal wabak sebagai bukti kecekapan tadbir urus dan kelebihannya berbanding Barat.

 

Oleh itu, sekiranya berlaku gelombang kedua penularan besar-besaran di China, nescaya pemerintahan Presiden Xi Jinping akan dipersoalkan.

 

Melihat kepada situasi di atas, pembukaan Barat dan pembersihan China bermakna kedua-dua kem ekonomi yang berkuasa di dunia ini akan terus memisahkan diri daripada tadbir urus sosial dan ideologi.

 

Keadaan ini akan memberi kesan jangka panjang  kepada hubungan diplomatik sama ada dalam sektor ekonomi dan pendidikan akan menjadi berkurangan.

 

Dasar pembersihan sifar negara China juga akan menyebabkan negara-negara luar berdepan pemberhentian pengeluaran tanpa amaran.

 

Manakala peningkatan jumlah yang dijangkiti di negara Eropah, Amerika Syarikat dan Australia pula, konsep kerja fleksibel seperti bekerja dari rumah akan diteruskan.

 

Kedua-dua fenomena berbeza di atas, akan menyebabkan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan yang akan membawa kepada kenaikan harga import dan membawa kepada inflasi.


 

usa

 


Amerika Syarikat telah menetapkan rekod tertinggi inflasi pada tahun 2021, cukup membuktikan impak besar wabak coronavirus.

 

Bagi Malaysia yang bergantung kepada import makanan ruji dan bahan masakan untuk kegunaan harian, harga import yang melambung tinggi bukan sahaja membawa kepada lonjakan inflasi tetapi ringgit Malaysia juga menjadi lemah.

 

Apabila kedua situasi ini menjadi rantaian, krisis kewangan pula akan menyusul.

 

Dalam dua tahun kebelakangan ini, banyak perusahaan kecil dan sederhana terpaksa ditutup kerana pandemik dan rakyat yang mempunyai pekerjaan tetap terpaksa melabur dalam ekonomi gig bagi membantu menyelesaikan masalah pengangguran.

 

Dalam usaha menangani wabak, kerajaan juga banyak meminjam sehingga menyebabkan Perbendaharaan Negara menjadi kosong.

 

Di samping itu, ramai orang juga telah kehabisan dana simpanan hari tua.


 

apa

 


Penghujung tahun 2021, banjir besar yang hampir melanda seluruh negara telah memburukkan lagi keadaan ekonomi yang sedang dalam proses pemulihan.

 

Masalah ekonomi negara yang teruk sudah pasti menyumbang kepada tercetusnya krisis kewangan.

 

Mengimbau kembali krisis kewangan Malaysia pada tahun 1997, ringgit yang semakin lemah, inflasi yang tinggi dan gelembung ekonomi merupakan pelopor kepada krisis kewangan.


 

apa

 


Mungkin 2022 akan menjadi tahun yang sukar, rakyat adalah disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebelum ia berlaku.

 

Pengurusan kewangan peribadi perlu lebih berhati-hati supaya lebih bersedia untuk berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu pada tahun ini.

 

Tahun 2021, kebanyakan masa kita “terkurung”, terlalu banyak perkara yang tidak dapat dilakukan kerana sekatan.

 

Tetapi kita tetap berjaya mengharunginya, moga tahun 2022 ini, kita lebih bersedia dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain untuk memikirkan penyelesaian. - DagangNews.com

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 31 Disember 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags