Bursa Malaysia-China mantapkan kerjasama aliran pelaburan  | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia-China mantapkan kerjasama aliran pelaburan 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dan Shenzhen Stock Exchange (SZSE) akan terus memperkukuh usaha kerjasama dengan mempromosi aliran pelaburan antara kedua-dua negara.

Ini termasuk promosi bersama indeks konstituen sebagai langkah meningkatkan kebolehlihatan (visibility) dan profil pasaran China serta Malaysia.

Pengarah Securities Market Bursa Malaysia, Azhar Mohd. Zabidi berkata, China kekal sebagai sumber terbesar pelaburan asing (FDI) dalam sektor pembuatan, merangkumi RM40.3 bilion dengan penghasilan peluang pekerjaan lebih 40,000 antara 2016 hingga 2019.

“Kami berharap sesi hari ini akan memberi inspirasi dan ‘membuka mata’ peserta terhadap peluang besar yang disediakan Malaysia dan memastikan kesinambungan trend ini untuk membuktikan lagi kedudukan nilai Malaysia sebagai hab rantaian bekalan dan pembuatan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi webinar “ASEAN Capital Market Cooperation Seminar (Manufacturing Session)” pada 30 Oktober lalu. 

Seminar yang dijalankan secara maya itu merupakan anjuran Bursa Malaysia, SZSE dan Stock Exchange of Thailand bertujuan mewujudkan kesedaran dalam promosi pasaran bersama, perkongsian maklumat, perkembangan perniagaan dan peluang pelaburan. 

Speaker pada seminar itu terdiri daripada syarikat pengilangan besar dan pakar industri daripada wakil bursa, pelabur dan syarikat China serta ASEAN. 

Syarikat yang terlibat adalah Top Glove Corporation Berhad, Beibu Gulf Port dan Siam Cement PCL. Ahli panel pula terdiri daripada Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raj; Pengarah Urusan China International Capital Corporation Limited, Haiyan Guo; Ketua Penyelidik CGS-CIMB Securities (Thailand) Co. Ltd,  Kasem Prunratanamala; dan Penolong Naib Presiden CGS-CIMB Securities (Singapura), Khor Bo Yang.

Bercakap pada sesi seminar itu, Timbalan Pengarah International Department, SZSE, Huiqi Pei menekankan setiap pihak terlibat secara aktif berhubung dan saling belajar, menjalankan pelbagai inisiatif dan mencapai hasil yang positif.

“Kami percaya kolaborasi rentas sempadan ini akan terus mewujudkan pertukaran idea yang mendalam serta pandangan kepimpinan untuk memberi manfaat kepada ketiga-tiga bursa,” katanya. - DagangNews.com