Bukan salah skim cepat kaya, salah awak yang nak cepat kaya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 1 October 2022

Bukan salah skim cepat kaya, salah awak yang nak cepat kaya

 

 

 

MEMASUKI tiga bulan terakhir tahun 2022, kerugian sebanyak berbilion ringgit telah direkodkan melibatkan pelbagai jenis kes penipuan kewangan!

 

Dengan kenaikan jumlah kes penipuan kewangan terutamanya yang melibatkan skim pelaburan seperti skim cepat kaya yang merepek dan penipuan penyamaran, sudah masanya untuk semua menyedari bahawa betapa pentingnya untuk mempunyai tahap celik kewangan yang lebih tinggi.

 

Cukuplah perit hidup dalam kebodohan untuk mengejar kekayaan segera, pilihlah untuk menjadi lebih bijak dan rasional dengan berpijak di bumi yang nyata!

 

Guru pelaburan Warren Buffett pun tidak mampu mengumpul dan menjana kekayaan dalam masa sehari! KLCC juga tidak mampu disiapkan dalam masa sebulan! Apatah lagi untuk mendapat pulangan yang tinggi secara konsisten!

 

Kebiasaan Taktik Penipuan

Antara taktik penipuan kewangan yang popular adalah Skim Cepat Kaya!

 

Tak kisah samada skim Ponzi, skim Piramid mahupun skim Pak Man Telo sekalipun, ramai yang telah menjadi mangsa apabila tertipu dan terjerat dengan tawaran untuk melabur dalam pelaburan seperti emas, perdagangan mata wang, kripto, saham, komoditi, hartanah dan pelbagai lagi benda yang merepek.


 

Eksponen

 


Mangsa yang terlibat dijanjikan dengan keuntungan pelaburan yang tak masuk dek akal dan kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan!

 

Ini termasuklah pelaburan yang menjanjikan pulangan terjamin – di mana mangsa akan menerima pulangan secara tetap sama ada secara bulanan mahupun tahunan.

 

Ingat! Setiap pelaburan mempunyai risikonya tersendiri. Seperti pasang surut lautan, begitu juga pulangan terhadap pelaburan yang dibuat! Semakin besar pulangan pelaburan yang dijanjikan, semakin tinggi risikonya!

 

Banyak lagi taktik penipuan yang menjadi kebiasaan yang sering terpampang baik di media massa mahupun media sosial seperti skim penipuan yang melibatkan pemilikan hartanah dengan harga yang begitu rendah seperti bina rumah sendiri di bawah harga (kos) yang tidak masuk akal serta pemilikan hartanah serendah RM10.  

 

Seolah-olah tidak belajar daripada apa yang telah terjadi kepada mangsa sebelumnya, masih ada yang percaya dan terjerat dengan tawaran seperti ini.

 

Tak tahu di mana silapnya, berbekalkan modus operandi yang hampir sama, masih ramai yang percaya dan terjebak dengan tawaran merepek bodoh apatah lagi tak masuk dek akal!

 

Ada juga kes yang melibatkan penipuan penyamaran. Penipuan jenis ini adalah bentuk penipuan samaran di mana penipu berpura-pura menjadi anggota polis, kakitangan bank atau dari pihak berkuasa seperti lembaga cukai, kastam dan lain-lain.

 

Cara penipuan ini dijalankan adalah melalui panggilan telefon yang menyatakan sama ada mangsa mempunyai kes jenayah berat yang melibatkan pihak polis, tunggakan cukai, tunggakan bil dan termasuklah mempunyai barangan pengeposan yang terlarang.


 

Eksponen

 


Tetapi yang mencuit hati, penipuan melalui telefon ini berlaku pada hari cuti di mana tiada satu pun kakitangan awam atau agensi yang terlibat bekerja pada waktu itu (kecuali polis dan jabatan lain)!

 

Yang menyedihkan! Masih ramai tertipu dengan jumlah kerugian sebanyak jutaan ringgit!

 

Pelbagai lagi bentuk kes penipuan kewangan yang menjadi kebiasaan tetapi semuanya senang untuk dikenal pasti bak pepatah Inggeris:

“if something sounds too good to be true, it probably is...”

 

Mangsa Penipuan

Berdasarkan rekod, individu yang menjadi mangsa kebanyakan adalah dari kalangan orang dewasa yang hidup bersendirian ataupun dalam kata mudah hidup dalam pengasingan sosial.

 

Mereka mudah terjerat dalam skim penipuan ini kerana mereka tidak mempunyai sesiapa untuk membincangkan berkenaan tawaran (penipuan) tersebut.

 

Apabila mangsa hidup dalam pengasingan sosial, kebiasaannya mereka tidak akan berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan dan mereka juga mudah berasa panik apabila mendapat ugutan serta cepat terpengaruh.

 

Ada juga individu yang menjadi mangsa berada dalam penafian (keadaan mental semasa ditipu) kerana mengikut naluri kawanan.

 

Naluri kawanan adalah tingkah laku di mana kebanyakan individu bertindak balas dan mengambil tindakan untuk menceburi ataupun terlibat sama kerana semua orang melakukannya!


 

Eksponen

 


Individu seperti ini mempunyai fikiran dan mempunyai kelakuan dengan cara yang sama dengan orang lain di sekeliling mereka.

 

Mereka percaya jika ramai yang mengambil bahagian dan turut serta dalam tawaran tersebut, ini bermakna skim itu adalah tulen dan boleh dipercayai!

 

Mengikut kajian yang telah banyak dijalankan, mangsa yang terjerat dalam kes penipuan kewangan ini juga kebiasaannya adalah dari kalangan individu yang berada di bawah tekanan kewangan dan mempunyai tahap celik kewangan yang rendah.

 

Apabila mereka berada dalam situasi ini – ditawarkan pulangan yang tinggi dari pelaburan, mereka mudah tertipu dengan memikirkan ini adalah jalan paling mudah dan terbaik untuk mereka keluar dari situasi sekarang (tekanan kewangan).

 

Elakkan Terjerat

Seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi, taktik penipuan yang digunakan juga semakin canggih.

 

Walaupun dengan bantuan teknologi, secara asasnya, modus operandi atau pelan asasnya masih mengikut acuan lama yang sebenarnya senang untuk dikenal pasti.

 

Seperti tawaran skim cepat kaya yang menjanjikan bulan bintang untuk memberikan atau menjamin pulangan yang tinggi pada risiko yang rendah atau hampir tiada risiko!


 

Eksponen

 


Ini adalah amaran permulaan (red flag) buat semua sebelum terjerat. Ingat! Semua pelaburan mempunyai risiko! Banyak penipuan pelaburan seperti ini menawarkan janji-janji yang menguntungkan untuk menarik seterusnya menjerat mangsa.

 

Jadilah individu yang celik kewangan dan berfikiran rasional dengan membuat kajian serta memeriksa bagaimana skim pelaburan ini boleh menjana keuntungan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko.

 

Kemudian lakukan penanda aras pulangan dengan membandingkan jenis pelaburan yang sama atau hampir sama atau pelaburan lain yang menawarkan pulangan yang sama dan lihat bagaimana risikonya.

 

Jangan cepat terpengaruh dengan taktik penipuan dan naluri kawanan seperti; “Untuk masa terhad sahaja! Melabur sebelum habis dijual!” dan "Lebih daripada 10,000 orang telah melabur - apa yang anda tunggu lagi?"

 

Ini adalah taktik atau unsur promosi kebiasaan penipuan dengan memberi tekanan kepada mangsa dengan tujuan untuk mewujudkan situasi tergesa-gesa dalam usaha menjadikan mangsa tertarik menyertainya tanpa berfikir panjang.

 

Untuk mengelakkan kita tersepit dalam situasi seperti ini, jangan panik, ambil masa dan berfikir secara rasional – jangan mudah terpedaya dan jangan mudah percaya apabila ramai menunjukkan pulangan yang tinggi selepas menyertainya.

 

Ini hanyalah ilusi pulangan rekaan untuk menjerat mangsa baru! Sekiranya terdapat keraguan terhadap pulangan yang diberikan, lebih baik tidak menyertainya!

 

Dengan bantuan kemajuan teknologi, penipuan kewangan sekarang adalah lebih canggih dengan mewujudkan rekod prestasi rekaan seperti menyewa bangunan di kawasan perniagaan elit, mewujudkan laman sesawang, mendapatkan sesuatu gelaran dalam usaha meyakinkan mangsa serta mewujudkan testimoni palsu pelanggan yang berpuas hati – telah mendapat pulangan tinggi hasil daripada pelaburan.


 

Eksponen

 


Ini semua adalah taktik penipuan yang dicipta hanya semata-mata untuk meningkatkan kredibiliti mereka. Jangan terpedaya!

 

Untuk mengelakkan diri daripada terpedaya dengan rekod prestasi rekaan ini, semakan boleh dilakukan terhadap pihak penyedia pelaburan sama ada mereka berdaftar dan dikawal selia atau tidak oleh pihak berkuasa yang berkaitan seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Dalam usaha untuk menjadi seorang individu yang celik kewangan, kita semua jangan takut! Buatlah semakan sama ada secara dalam talian – semakan melalui laman web rasmi, ataupun dengan menghantar emel ke pihak berkenaan atau pun terus menghubungi mereka untuk mendapatkan kesahihan.

 

Ada banyak lagi cara untuk mengelakkan kita dari terjerat dan menjadi mangsa penipuan kewangan.

 

Suka atau tidak, tidak dinafikan bahawa pendidikan samada secara formal mahupun tidak formal adalah kunci untuk kita menjadi lebih peka terhadap trend penipuan kewangan yang berlaku dan yang paling penting untuk mengelakkan kita dari menjadi mangsa seterusnya! Sentiasa berwaspada sebelum terkena! Ingat!!!

 

"Jika sesuatu kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, mungkin......"    - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags